Pasangan terkenal, Ustaz Haris Ismail atau PU Riz dan Neelofa terus menunjukkan komitmen dalam memperkukuh peranan sebagai keluarga Islam moden dengan pelancaran buku terbaharu berjudul Bilal x Mommy Hana.
Buku ini merupakan hasil kolaborasi yang menekankan kepentingan mendidik anak-anak dengan nilai ketuhanan sejak usia kecil.
Majlis pelancaran yang diadakan di AEON Tebrau, Johor Bahru itu menerima sambutan hangat dengan kehadiran hampir 3,000 pengunjung, menandakan sokongan besar terhadap usaha memupuk pendidikan berteraskan Islam melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan.

Menurut PU Riz, 30, buku tersebut bukan sekadar bahan bacaan, sebaliknya berfungsi sebagai alat untuk menanam minat terhadap ilmu dan mengenal Allah SWT dalam diri kanak-kanak.
“Kami bersetuju untuk bekerjasama dalam projek ini kerana Bilal sendiri banyak belajar melalui buku ini. Dia bukan hanya mengenal huruf al-Quran, malah turut mempelajari nama haiwan dalam bahasa Inggeris. Ia membantu perkembangan awalnya dengan cara yang menyeronokkan,” jelas PU Riz.
Tambahnya lagi, kerjasama ini bukan sekadar bentuk penajaan duta, tetapi satu usaha perniagaan yang membawa matlamat mendalam dalam pembangunan sahsiah anak-anak.

“Fokus utama kami adalah untuk memperkukuh institusi pendidikan kanak-kanak dengan mengajar mereka mengenal Tuhan sejak usia muda. Pendidikan tidak boleh dihadkan kepada akademik semata-mata, tetapi perlu melibatkan pembentukan akhlak dan hati yang baik,” katanya.
Menariknya, dalam majlis tersebut, PU Riz dan Neelofa turut mengadakan aktiviti interaktif dengan menawarkan sumbangan tunai berjumlah RM15,000 kepada pengunjung yang berjaya menyambung ayat al-Quran, menjadikan acara pelancaran itu bukan sekadar memperkenalkan buku, tetapi juga medan dakwah yang menyemai semangat mencintai al-Quran.

Neelofa pula berkongsi rasa syukur dan terharu kerana buku ini terinspirasi daripada pengalaman sebenar mereka dalam mendidik anak sulung, Muhammad Bilal.
“Sebagai seorang ibu, saya percaya pendidikan bermula di rumah. Buku ini amat dekat di hati kerana ia mencerminkan cara kami membesarkan Bilal dengan penuh kasih sayang, nilai Islam, dan aktiviti yang menyeronokkan. Saya berharap ia dapat membantu lebih ramai ibu bapa memperkenalkan konsep mengenal Tuhan kepada anak-anak sejak mereka kecil,” katanya.
Buku Bilal x Mommy Hana menggabungkan unsur pendidikan Islam, pembelajaran bahasa dan aktiviti interaktif, disertai reka bentuk yang menarik serta mesra kanak-kanak.
Karya ini dihasilkan sebagai panduan buat ibu bapa yang ingin mendidik anak-anak melalui pendekatan yang seimbang antara ilmu, kasih sayang dan nilai spiritual.






