Negara berhadapan ancaman perpaduan ekoran laba politik

Negara berhadapan ancaman perpaduan ekoran laba politik


KUALA KANGSAR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah negara sedang berhadapan perkembangan yang mengancam perpaduan rakyatnya ekoran agama dan kaum dijadikan benang tenunan untuk menganyam hamparan politik.

Baginda bertitah, agama dan kaum kini dijadikan mata wang yang sah (legal tender) untuk meraih laba politik, retorik-retorik atas nama agama yang bernada keterlaluan dan slogan-slogan atas nama kaum yang bersifat provokatif dan semakin digemakan.

Tambah baginda, retorik dan slogan sedemikian laksana bara yang semakin menyalakan puntung dan unggun di mana jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara.

“Dibimbangkan warga semakin disemaikan prasangka, disuntik racun curiga. Rakyat kelihatan semakin hilang kompas pedoman untuk menemui titik penyatuan.

“Negara ketika ini memerlukan kebijaksanaan dan hikmah pimpinan, yang membolehkan warga berasa senang dan selesa, tidak memiliki prasangka, tidak berasa curiga di sebaliknya berminda terbuka menghargai kepelbagaian yang dikurniakan di bumi ini,” titah baginda.

Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Istana Iskandariah di sini, pada Sabtu.

Berangkat sama ke istiadat itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat Raja Muda Perak Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Seri Aezer Zubin.

Sultan Nazrin bertitah, demokrasi yang sihat dan negara yang progresif, mengutamakan amalan perimbangan kuasa, menghormati amalan semak dan imbang antara tiga cabang kerajaan tersebut.

Baginda bertitah, penumpuan kuasa yang keterlaluan kepada mana-mana institusi, atau kelemahan ketara salah satu daripada institusi tersebut, biasanya menjadi punca kepada ketempangan perjalanan negara, menjurus kepada tercicirnya keadilan, mendorong kepada penyalahgunaan kuasa, mengakibatkan perpecahan rakyat, berakhir dengan persengketaan warga, selanjutnya keruntuhan kerajaan.

“67 tahun lalu, negara kita telah dibina dengan falsafah kenegaraan yang mengutamakan semangat bekerjasama antara rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, menganuti pelbagai agama, mewarisi pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa.

“Meskipun sudah enam puluh tujuh tahun mencapai kemerdekaan, negara masih belum mencapai status sempurna. Pelayaran untuk mencapai tahap kesempurnaan tidak ada penghujungnya.

“Tetapi bahtera negara akan mendampingi pelabuhan kesempurnaan jika pemimpin dan warga memilih untuk menyisihkan perbezaan dan mencari penyebut biasa; pemikiran diilhamkan dengan sangka baik; dibenamkan sangka buruk yang didorong oleh nafsu; kerana sifat bersangka buruk itu bukan sahaja melihat yang jahat sebagai jahat, malangnya yang baik juga dilihat sebagai jahat, akibatnya penglihatan menjadi buta kebaikan,” titah baginda.

Titah baginda lagi, raja pemerintah yang bertakhta merupakan simbol kedaulatan tanah air warisan Melayu yang berperanan sebagai benteng dan kubu pelindung agama Islam dan budaya Melayu, sekali gus memberikan keselesaan psikologi dalam minda umat Islam dan orang Melayu.

Sultan Nazrin bertitah, raja pemerintah juga perlu memberikan naungan saksama kepada rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya, menguasai pelbagai bahasa yang telah bermastautin di bumi ini yang terbukti telah menumpahkan kesetiaan kepada raja dan negara, menghayati semangat di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

“Takhta dalam menjunjung amanah Ilahi perlu memenuhi doa dan harapan warga; berperanan sebagai payung naungan tempat berteduh kepada setiap warga yang telah sama-sama memecah ruyung menghasilkan sagu,

“Warga yang telah sama-sama mendaki bukit meredah lembah, warga yang telah sama-sama mengharungi ombak menempuh badai untuk membangunkan sebuah negara yang merdeka, aman, makmur lagi berdaulat,” titah baginda.

Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak kepada seramai 213 penerima sempena ulang tahun hari keputeraan baginda kali ini.

Daripada jumlah itu, seramai 59 individu akan menerima darjah kebesaran masing-masing hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL



Source link

OR

Scroll to Top