Negara berisiko hilang RM100 bilion eksport sawit

Negara berisiko hilang RM100 bilion eksport sawit


KUALA KANGSAR: Negara berisiko kehilangan RM100 bilion nilai eksport sawit jika soal mewajibkan geran tanah dan lesen tidak ditekankan dalam kaedah penanaman serta penjualan buah kelapa sawit ke kilang pemprosesan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana setiap kilang pemprosesan perlu mematuhi syarat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang merupakan kehendak oleh pengimport terutamanya Kesatuan Eropah (EU).

Jelasnya, soal pemilikan tanah yang dibuktikan dengan geran tanah dan lesen merupakan syarat sebagai bukti dalam menguruskan penerokaan hutan tanpa kawalan yang menjejaskan alam sekitar.

“Selepas tahun 2020, kalau membuka hutan dan menanam sawit, tidak boleh dapat MSPO. Kalau tak dapat pensijilan MSPO, bagaimana hendak menjual buah. Kilang-kilang memproses ini ada sijil MSPO, dan mereka tidak boleh mengambil buah yang dikutip daripada hutan yang dinyahkan.

“Kalau tanaman lain saya tidak masuk campur, tetapi untuk sawit ini kita kena jaga. Supaya hasil yang kita ada ini boleh eksport dan jumlahnya lebih RM100 bilion. Kalau kita tidak berjaga-jaga, kita akan hilang RM100 bilion ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melawat kilang sawit di sini hari ini yang merupakan pusat pemprosesan sawit pertama yang menerapkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).

Johari mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meminta Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melonggarkan syarat penjualan buah kelapa sawit tanpa perlu mewajibkan geran tanah dan lesen kerana ia membebankan pekebun kecil khususnya masyarakat Orang Asli.

Menteri itu berkata, bagi menangani kerisauan tentang nasib pekebun kecil atau masyarakat Orang Asli, kerajaan negeri boleh masuk campur untuk menguruskan soal pemilikan tanah.

“Kita hasilkan 18.6 juta tan minyak sawit. Kita cuma pakai empat hingga lima juta tan sahaja, selebihnya kena eksport.

“Kita eksport ke China, India dan EU. EU ada pensijilan tersendiri yang kita kena patuhi. Bila hendak patuhi itu, mana-mana tanah yang hendak kita hendak tanam kelapa sawit mesti ada pemilikan,” katanya.  – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top