KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan negara kini berada dalam ‘simpang siur’ kerana terdapat dua pihak yang mempunyai fahaman berbeza mengenai Islam.
Jelas beliau, terdapat satu kelompok yang mencerminkan Islam dengan penuh kebencian dan ada kelompok yang hanya menerima mereka yang sependapat sahaja.
“Negara ini dalam simpang-siur, di satu pihak sebaik sahaja sebut Islam dia terus melenting. Bila saya sebut JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) harus nasihat kerajaan dalam semua bidang apa salahnya (tetapi) ada yang melenting.
“Ada yang melenting kata ada usaha untuk menghasut rakyat menggunakan program-program Islam. Apa salahnya? Bukan kita suruh buat zalim. Kita faham hak bukan Islam tetapi jangan dia bawa fahaman barat Islamofobia, sampaikan kita tak boleh sebut pasal Islam. Jadi, kita harus berdepan pihak ini.
“Ada satu pihak lain bahawa Islam penuh kebencian, orang lain semua buruk, kalau kerajaan jahat, kalau sebut Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid) nampak jahat semua tiada kebaikan, kalau jahat semua kerajaan, yang baik hanyalah kabilah dan kelompok mereka. Ini semua jenis ‘Asabiyaah’ yang merosakkan ‘sendi’ kekuatan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan 24K Huffaz yang dianjurkan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Dalam pada itu, Anwar juga menyeru agar golongan huffaz di negara ini dipersiapkan dengan ajaran agama islam yang sebenar.
Ujarnya, ini bagi mendepani golongan Islamofobia serta pihak yang terus menanamkan kebencian terhadap Islam di negara ini.
“Sebab itu anak-anak sekalian terus tumpu dalam amalan kita dan saya yakin masa depan kita cemerlang.
Tetapkan pendirian bahawa mesej Islam ini mesej kebenaran, risalah islam ini risalah keadilan, menyatukan dan penuh dengan rahmah dan kasih sayang, ini yang harus kita tetapkan,” ujarnya lagi.- MalaysiaGazette