Negeri Sembilan bangkit ikat Kuching City

Negeri Sembilan bangkit ikat Kuching City


Pemain Negeri Sembilan, Alexander Agyakwa (kanan) cuba menanduk bola ketika menentang Kuching City dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.

NEGERI SEMBILAN FC menampilkan kebangkitan dramatik apabila Luis Enrique menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-94 untuk memastikan seri 2-2 menentang Kuching City FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.

Skuad Rusa bermula perlahan apabila dibolosi seawal minit ketujuh melalui penyudah penyerang muda pelawat, Danial Asri.

Kedudukan bertambah genting pada minit ke-48 apabila Ronald Ngah Wanja menambah jaringan kedua untuk Kuching City, menyebabkan Negeri Sembilan ketinggalan 0-2.

Tersentak, kapten tuan rumah Takumi Sasaki cuba menggerakkan serangan dengan beberapa aksi berbahaya, namun benteng Borneo yang diketuai James Okwuosa bersama penjaga gol Haziq Nadzli berjaya mengekang asakan.

Sorakan hampir 25,000 penyokong tuan rumah akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-79 apabila Joseph Esso menanduk masuk gol pertama Negeri Sembilan, merapatkan jurang sebelum Enrique muncul sebagai wira dengan jaringan dramatik pada minit tambahan, sekali gus menyelamatkan maruah tuan rumah.

Dalam aksi lain, Sabah FC sekadar seri 1-1 menentang Melaka FC di Stadium Likas yang disaksikan 4,028 penonton.

Gol Ajdin Mujagic meletakkan pasukan tuan rumah di depan pada minit ke-61, namun Irfan Zakaria menyamakan kedudukan pada minit ke-85 untuk skuad pelawat.



Source link

OR

Scroll to Top