Motika meledak dua gol ketika Negeri Sembilan membelasah PDRM dalam perlawanan pertama Pusingan 16 Piala FA 2025/26 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Isnin. FOTO: Bernama
NEGERI Sembilan FC berpesta gol di hadapan 4,506 penyokong setia apabila menumpaskan PDRM FC 5-0 pada aksi pertama Pusingan 16 Piala FA 2025/26 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Isnin.
Skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil bermula garang sebaik wisel permulaan dengan import sensasi, Jovan Motika meledak dua gol pantas pada minit kedua dan ke-40 untuk meletakkan pasukan tuan rumah selesa di depan.
Kegembiraan penyokong Hobin Jang Hobin bertambah meriah menjelang rehat apabila Joseph Esso menambah jaringan ketiga pada minit ke-45, sekali gus memastikan Negeri Sembilan menutup babak pertama dengan kelebihan selesa.
Memasuki babak kedua, rentak agresif tuan rumah tidak luntur menyaksikan pemain gantian, Mio Tsuneyasu menambah gol keempat minit ke-76 sebelum Esso sekali lagi mencetak nama tiga minit kemudian untuk melengkapkan kemenangan bergaya 5-0.
Sebaliknya, The Cops yang dibimbing Eddy Gapil gagal mencari rentak meskipun menurunkan kapten berpengalaman, Kyaw Min Oo sekali gus akur dengan kekalahan besar di laman lawan.
Kemenangan itu memberi kelebihan besar buat Negeri Sembilan menjelang aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 14 September depan dengan skuad Rusa kini dilihat selangkah ke suku akhir.