Negeri Sembilan dibaham Harimau Kumbang di Paroi

Negeri Sembilan dibaham Harimau Kumbang di Paroi



sukan@hmetro.com.my

Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas kepada Penang FC, 0-2, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.

Kekalahan itu meletakkan skuad Hobin Jang Hobin berhadapan laluan berliku untuk memperbaiki kedudukan dalam carta liga ketika saingan musim ini berbaki dua perlawanan lagi.

Penang FC tidak menunggu lama untuk mendapatkan gol apabila Mohamad Rahmat Makasub meledak gol pertama pelawat pada minit ke-12.

Jaringan itu terhasil angkara kegagalan dan kelekaan bahagian benteng Negeri Sembilan untuk mengeluarkan bola, yang memberi ruang kepada Rahmat merembat bola ke dalam gawang menewaskan penjaga gol, Muhamad Aqil Abdul Razak.

Tersentak dengan jaringan itu, Negeri Sembilan mula memperkemaskan jentera serangan.

Mereka mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol penyamaan terutama menerusi Takumi Sasaki, namun percubaan dilakukan pemain import dari Jepun itu mudah dipatahkan pertahanan Penang FC yang diterajui, Rafael Victor.

Jentera serangan Negeri Sembilan dilihat bergelut untuk mencipta peluang terbaik di kawasan gol pasukan pelawat.

Ketinggalan satu gol mendorong anak buah K Nanthakumar bekerja keras mencari gol penyamaan.

Mereka mendapat peluang pada minit ke-43 menerusi Mohamad Ikwan Yazek namun percubaannya yang hanya berdepan penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, tersasar di bahagian tepi jaring, sekali gus menamatkan separuh masa pertama berpihak kepada pasukan Harimau Kumbang.

Bersambung babak kedua, skuad Hobin Jang Hobin dilihat menggandakan asakan mereka ke kawasan kubu Penang FC, bagaimanapun, mereka terus tertekan apabila pelawat memperoleh sepakan penalti pada minit ke-86.

Victor yang mengambil sepakan itu mudah menewaskan Muhamad Aqil untuk gol kedua Penang FC.

Usaha dan impian Negeri Sembilan untuk mencipta kemenangan ketiga musim ini jelas tidak kesampaian dengan keputusan 2-0 berpihak kepada Penang kekal sehingga ke wisel penamat.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top