SAINGAN Liga Malaysia (Liga-M) musim ini tampil lebih sengit dengan kejutan pasukan luar jangka dan jurang mata yang semakin rapat, sekali gus menarik kembali kehadiran penyokong ke stadium.
Pemerhati bola sepak tempatan, Profesor Dr Zulakbal Abd Karim berkata, prestasi kelab-kelab sejak awal musim cukup positif apabila pasukan seperti Negeri Sembilan FC dan Kuching City FC berjaya membuat kejutan selepas tiga perlawanan.
“Kelantan The Real Warriors FC juga menunjukkan peningkatan dengan berada di tangga kelima selepas empat aksi, walaupun bergelut di awal musim.
“Jurang mata dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) juga lebih rapat berbanding musim lalu, sesuatu yang sangat berbeza,” katanya.
Tambahnya, perkembangan ini memberi petanda baik kepada Liga-M yang semakin menarik untuk diikuti dan secara langsung meningkatkan kembali kehadiran peminat di stadium.
Beliau turut menekankan peranan pengurusan pasukan dalam mendekati penyokong, khususnya Kuching City dan Negeri Sembilan yang bijak memanfaatkan media sosial untuk mengeratkan hubungan dengan peminat.
“Ini membuktikan liga kini lebih kompetitif. Kalau sebelum ini hanya Selangor yang dianggap pencabar JDT, kini kelab lain sudah mula menunjukkan taring,” katanya.
Dalam masa sama, Zulakbal mengingatkan agar prestasi baik ini tidak berhenti separuh jalan, sebaliknya dijadikan penanda aras untuk aksi lebih konsisten.
Katanya, penyokong juga memainkan peranan besar untuk terus memeriahkan suasana di stadium. Ketika ini, JDT mendahului Liga Super dengan 12 mata, hanya dua mata mengatasi Kuala Lumpur City FC di tangga kedua manakala Terengganu FC di kedudukan ketiga selepas empat perlawanan.
Perlawanan Liga Super akan bersambung pada 19 September, namun tumpuan terlebih dahulu terarah kepada lapan perlawanan timbal balik Pusingan 16 Piala FA minggu ini.
PIALA FA 2025/26
PUSINGAN 16
PERLAWANAN KEDUA
12 SEPTEMBER (JUMAAT)
PDRM FC (0) lwn (5) Negeri Sembilan
(Stdm Majlis Perbandaran Selayang, 9 malam)
*Astro Arena Bola 2 (CH 804), Astro GO, Sooka
13 SEPTEMBER (SABTU)
Sabah (6) lwn (0) Bunga Raya FC
(Stdm Likas, 7.30 malam)
* Sukan RTM, RTM Klik
Selangor FC (3) lwn (1) Malaysian University FT
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 8.15 malam)
* Astro Arena Bola 2 (CH 804), Astro GO, Sooka
Terengganu FC (1) lwn (2) Imigresen FC
(Stdm Sultan Mizan Zainal Abidin, 9 malam)
* Astro Arena Bola 2 (CH 803), Astro GO, Sooka
14 SEPTEMBER (AHAD)
Kuching City (2) lwn (3) DPMM FC
(Stdm Negeri, 8.15 malam)
* Astro Arena Bola 2 (CH 804), Astro GO, Sooka
Kuala Lumpur City (1) lwn (3) Kelantan TRW
(Stdm Bolasepak Kuala Lumpur, 8.15 malam)
* Astro Arena Bola 2 (CH 803), Astro GO, Sooka
15 SEPTEMBER (ISNIN)
Penang FC (2) lwn (0) Melaka FC
(Stdm Bandaraya, 9 malam)
* OKEY TV Okey, Sukan RTM, RTMKlik
2 OKTOBER (KHAMIS)
Johor Darul Ta’zim (5) lwn (0) UM Damansara United
(Stdm Sultan Ibrahim, 8.15 malam)
* Astro Arena Bola 2 (CH 803), Astro GO, Sooka
* Dalam kurungan keputusan perlawanan pertama
* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia