sukan@hmetro.com.my
Seremban: Hasrat Negeri Sembilan FC untuk meraih kemenangan di laman sendiri tidak kesampaian apabila sekadar terikat 3-3 dengan Penang FC dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Pelawat terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Dylan Christopher meledak jaringan pembukaan pada minit ke-22 menerusi rembatan dari dalam kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhammad Azri Ghani.
Negeri Sembilan bangkit menyamakan kedudukan tujuh minit kemudian apabila Jovan Motika menamatkan gerakan kemas selepas menerima lorongan daripada Takumi Sasaki.
Memasuki babak kedua, Penang kembali di depan apabila pemain gantian Tchetche Kipre menyudahkan lorongan Jose Porteria untuk gol kedua pelawat pada minit ke-79.
Tiga minit kemudian, Mio Tsuneyasu menyamakan kedudukan buat Negeri Sembilan sebelum Joseph Esso meletakkan tuan rumah di depan menerusi gol pada minit ke-88.
Namun kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Penang dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-90 yang disempurnakan Stefano Brundo.
Negeri Sembilan cuba mencari gol kemenangan pada penghujung perlawanan, namun kedudukan 3-3 kekal hingga wisel penamat.
© New Straits Times Press (M) Bhd






