Netanyahu hentikan RUU rampas Tebing Barat selepas dikritik AS

Netanyahu hentikan RUU rampas Tebing Barat selepas dikritik AS


BAITULMUQADDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengarahkan kerajaannya tidak meneruskan rang undang-undang pendudukan Tebing Barat di Knesset susulan kritikan dari Amerika Syarikat (AS), lapor Anadolu pada Khamis.

Pengerusi Gabungan, Ofir Katz berkata Netanyahu mengarahkannya untuk tidak meneruskan sebarang cadangan berkaitan penguatkuasaan kedaulatan di Judea dan Samaria (Tebing Barat) sehingga diberitahu kelak, menurut laporan harian Yedioth Ahronoth.

Pada Rabu, Knesset meluluskan pada bacaan awal dua rang undang-undang untuk menduduki Tebing Barat dan blok penempatan Ma’ale Adumim. Kedua-dua draf tersebut masih perlu melalui tiga lagi bacaan sebelum boleh diwartakan sebagai undang-undang.

Tindakan berkenaan mencetuskan reaksi keras daripada AS, dengan Presiden Donald Trump menegaskan beliau tidak akan membenarkan Israel menduduki Tebing Barat.

Naib Presidennya, JD Vance yang menamatkan lawatan tiga hari ke Israel pada Khamis, turut menyifatkan undian di Knesset itu sebagai taktik politik yang bodoh.

Netanyahu pula menyifatkan undian terhadap rang undang-undang pendudukan itu sebagai provokasi politik yang sengaja dilakukan pembangkang untuk menimbulkan perpecahan ketika lawatan Naib Presiden JD Vance ke Israel.

Dalam kenyataan pejabatnya, Netanyahu berkata kedua-dua rang undang-undang tersebut dibentangkan oleh anggota pembangkang di Knesset.

“Parti Likud dan parti-parti agama (komponen utama gabungan) tidak mengundi menyokong rang undang-undang ini, kecuali seorang ahli Likud yang tidak berpuas hati selepas digugurkan daripada jawatan pengerusi sebuah jawatankuasa Knesset. Tanpa sokongan Likud, rang undang-undang ini tidak akan ke mana-mana,” katanya.

Pendudukan haram Tebing Barat dilihat bakal menamatkan terus kemungkinan pelaksanaan penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel seperti yang digariskan dalam resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada Julai lalu, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan bahawa pendudukan Israel di wilayah Palestin adalah tidak sah dan menyeru supaya semua penempatan di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dikosongkan. -AGENSI





Source link

OR

Scroll to Top