Penyanyi Nubhan meluahkan rasa syukur dinobatkan sebagai pemenang tempat ketiga Gegar Vaganza 12 serta menganggap ianya sebagai rezeki.
Memetik Oh Bulan, Nubhan berkata meskipun ada yang gembira dia tidak bergelar juara serta ada yang mengejeknya namun dia tidak mengambil hati.
BACA: “Anak Nak Sekolah, Kami Tiada Tempat Tinggal” – Dr Fie Terkejut Nubhan Tak Hadir Mahkamah
“Saya tidak kisah jika ada yang kata ‘padan muka dapat nombor tiga dan tidak jadi juara’. Apa pun keputusan yang diumumkan adalah rezeki. Saya akui perjalanan 12 minggu dalam program ini bukan sesuatu yang mudah.
“Berada di pentas final dan menjadi antara enam finalis terbaik sudah membuatkan saya sangat bersyukur. Dari awal sasaran saya memang untuk masuk final, soal juara atau tidak ini soal rezeki,” katanya.
Sementara itu, Nubhan mengakui persembahan duetnya bersama Aina Abdul dikatakan kurang menyerlah namun dia sudah melakukan yang terbaik.
“Lagu solo memang pilihan saya sendiri, tetapi lagu duet ditentukan oleh pihak produksi. Saya terima sebagai satu cabaran dan merasakan sudah melakukan yang terbaik.
“Saya akui kurang memberi dalam persembahan itu kerana lagu berkenaan memang sukar. Terima kasih juga kepada Aina kerana memberikan komitmen yang sangat baik,” katanya.
Sumber: Oh Bulan






