LEGENDA Manchester United, Gary Neville menyokong penuh usaha kelab lamanya untuk mendapatkan penyerang Wolverhampton, Matheus Cunha menjelang jendela perpindahan musim panas ini.
United dilaporkan bersedia membayar sehingga £62.5 juta (RM375 juta) bagi membawa masuk pemain berusia 25 tahun itu ke Old Trafford bagi memperkukuh barisan serangan yang bergelut musim ini.
“Mereka benar-benar perlukan penyerang dan Cunha sesuai dengan sistem yang digunakan ketika ini,” kata Neville kepada Sky Sports.
Setakat ini, skuad kendalian Ruben Amorim hanya merekodkan 38 gol dalam 33 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), jauh daripada sasaran kelab.
Cunha turut menarik minat Newcastle United, namun laporan terkini menyebut pemain Brazil itu lebih cenderung untuk menyertai United sebagai sebahagian daripada projek pembinaan semula kelab.
United dijangka mengaktifkan klausa pelepasan Cunha dalam masa terdekat, memanfaatkan ruang perbelanjaan yang masih tersedia di bawah peraturan keuntungan dan kelestarian (PSR).
Menariknya, United baru sahaja tewas 0-1 kepada Wolverhampton dalam aksi liga minggu lalu, dengan hanya dua percubaan tepat ke gawang sepanjang perlawanan.
OR