New Zealand kembali semula ke Piala Dunia

New Zealand kembali semula ke Piala Dunia


Pemain New Zealand meraikan kejayaan mara ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan New Caledonia dalam di Stadium Eden Park, Auckland. Foto AFP

NEW Zealand akhirnya berjaya menempah tiket ke Piala Dunia 2026 selepas menewaskan New Caledonia 3-0 dalam perlawanan akhir Oceania pada Isnin.

Kemenangan ini menandakan kembalinya All Whites ke pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 2010.

Gol-gol daripada pemain veteran Michael Boxall dan Kosta Barbarouses pada separuh masa kedua memastikan kemenangan bergaya di hadapan lebih 25,000 penyokong yang membanjiri Eden Park.

Boxall menjaringkan gol pertamanya untuk New Zealand dalam penampilan antarabangsa ke-55, diikuti jaringan cantik Barbarouses dan Elijah Just.

“Kami akan ke Piala Dunia! Saya sangat gembira.

“Ini adalah percubaan kelima saya untuk ke Piala Dunia. Saya sangat emosi dan teringat kembali 15 tahun yang lalu,” kata Barbarouses, 35, yang terlepas peluang beraksi di Piala Dunia 2010.

Kemenangan ini amat bermakna buat New Zealand, yang terlepas tiga edisi Piala Dunia terakhir selepas tewas dalam playoff antara benua.

Dengan Oceania mendapat slot automatik kali ini, All Whites membuktikan mereka adalah kuasa bola sepak utama di rantau itu.

New Zealand menjadi negara kedua yang layak ke Piala Dunia 2026, yang akan dihoskan bersama oleh Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico, selepas Jepun turut mengesahkan kelayakan mereka minggu lalu.

Bagaimanapun New Zealand turut berdepan kebimbangan dengan kecederaan kapten Chris Wood.

New Caledonia, yang dibarisi pemain amatur, memberikan tentangan sengit sebelum tunduk kepada keunggulan New Zealand.

“Kami tahu ia akan menjadi sukar menentang New Zealand di laman sendiri.

“Kami akan fokus kepada playoff antara benua,”kata pengendali New Caledonia, Johann Sidaner.



Source link

OR

Scroll to Top