NEW Zealand berada dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan kejuaraan Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2025 di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil sebentar tadi.
Kemenangan tersebut amat bermakna buat skuad Black Sticks yang tiada belas ehsan membelasah Pakistan 6-2.
New Zealand dalam saingan peringkat Kumpulan B pada Rabu sekadar menang tipis 4-3 ke atas Pakistan.
Sebagai rekod, Black Sticks muncul juara bagi edisi 2023/24 setelah menewaskan Perancis melalui pukulan ‘shoot out’ 4-3 setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam saingan sebenar perlawanan di Poland.
New Zealand berada dalam kelas tersendiri apabila mempertahankan kejuaraan Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2025 di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil sebentar tadi. FOTO – SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pesta gol New Zealand yang berstatus ke-10 dunia bermula dengan Pukulan Sudut Penalti (PC) Scott Cosslett pada minit keenam.
Menuju detik akhir saingan suku pertama Black Sticks menggandakan jaringan menerusi Sam Hiha pada minit ke-15.
Menuju aksi suku kedua, New Zealand tidak menunggu lama untuk meledak jaringan ketiga menerusi Dylan Thomas pada minit ke-16 bagi menewaskan Ur-Rehman Muneeb di gawang.
Belum pun sempat Pakistan yang berkedudukan ke-15 dunia menarik nafas, anak buah Greg Nicol kian ghairah menyerang dan ia berhasil apabila New Zealand terus melebarkan jurang jaringan.
Gol keempat tersebut hadir selang seminit dan kali ini tiba giliran Sean Findlay yang meledak menerusi gol padang.
Turut tidak ketinggalan untuk mencatat nama selaku penjaring ialah Scott Boyde yang menghasilkan gol kelima ketika suku kedua berbaki empat minit.
Pesta gol New Zealand yang berstatus ke-10 dunia bermula dengan Pukulan Sudut Penalti (PC) Scott Cosslett pada minit keenam. FOTO – SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Pakistan yang turut mendapat sokongan daripada peminat mereka yang berada di Lembah Klang kembali memperkemaskan corak permainan pada babak kedua.
Nyata ia berhasil apabila Pakistan meraih jaringan pertama menerusi gol padang, Hayat Zikriya pada minit ke-35.
Cosslett kemudian menghasilkan gol kedua peribadi pada minit ke-57, sebelum Pakistan menerusi Khan Sufyan merapatkan jurang jaringan menuju penghujung perlawanan, namun ia tidak mampu menafikan kemenangan New Zealand 6-2.
Sebagai juara, New Zealand layak beraksi dalam Liga Profesional 2025/26 yang sebelum ini dikenali sebagai Liga Hoki Dunia.
Terdahulu, Perancis meraih tempat ketiga selepas mengalahkan Korea Selatan 3-2 menerusi penalti ‘shoot out’ setelah terikat 3-3 pada masa sebenar permainan.
Sebelum itu, Malaysia yang menyasarkan peringkat separuh akhir terpaksa berpuas hati di tempat keenam selepas tumpas 1-2 kepada Wales.
Dalam pada itu, Jepun pula berjaya mengelak daripada berada di kedudukan tercorot selepas menumpaskan Afrika Selatan 2-1 dalam saingan tempat ketujuh dan kelapan.