Los Angeles: Pemain New Zealand menyatakan kesediaan untuk beraksi menentang Iran di luar Amerika Syarikat (AS) dalam aksi pembukaan Piala Dunia 2026 susulan ketidaktentuan lokasi perlawanan itu akibat ketegangan geopolitik.
Pasukan Iran sebelum ini layak ke kejohanan berprestij itu, namun penyertaan mereka menjadi tanda tanya selepas konflik membabitkan negara itu dengan Amerika Syarikat dan Israel yang tercetus sejak hujung Februari lalu.
Iran dijadualkan beraksi dalam semua perlawanan peringkat kumpulan di AS termasuk aksi pembukaan menentang New Zealand pada 15 Jun di Los Angeles, namun Persekutuan Bola Sepak Iran dilaporkan mengancam untuk memboikot perlawanan di negara itu.
Pemain tengah New Zealand, Ryan Thomas menegaskan Iran berhak berada di Piala Dunia dan pasukannya bersedia menyesuaikan diri jika berlaku perubahan lokasi.
“Mereka layak berada di sana sebagai pasukan yang berjaya mara. Jika kami perlu bermain di Mexico atau Kanada, kami akan pergi ke sana. Bagi saya, itu bukan masalah besar,” katanya.
Sepanjang kejohanan dari 11 Jun hingga 19 Julai itu, New Zealand dijangka berpengkalan di San Diego yang terletak berhampiran sempadan Mexico.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum turut menyatakan kesediaan negaranya untuk menjadi tuan rumah kepada perlawanan Iran jika diperlukan, namun keputusan akhir terletak di tangan FIFA.
Sementara itu, pemain sayap, Kosta Barbarouses berkata sebarang perubahan lokasi tidak akan menjejaskan persiapan pasukan.
“Saya tidak fikir ia akan menjejaskan persiapan kami. Kami sudah ada pangkalan sebelum perlawanan pertama, jadi tiada masalah besar,” katanya.
Dalam masa sama, isu keselamatan turut menjadi kebimbangan menjelang perlawanan berprofil tinggi itu, namun Barbarouses percaya pihak berkuasa mampu mengawal keadaan.
“Saya faham ada kebimbangan, tetapi dengan skala kejohanan ini, saya tetap mahu keluarga saya hadir. Saya yakin mereka akan selamat,” katanya.
Iran turut dijadualkan menentang Belgium di Los Angeles dan Mesir di Seattle dalam saingan peringkat kumpulan.
Bagaimanapun, FIFA masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kemungkinan perubahan venue, namun mengesahkan pihaknya sedang berhubung dengan Persekutuan Bola Sepak Iran dan berharap semua perlawanan berjalan seperti dirancang.
© New Straits Times Press (M) Bhd






