Newcastle: Bruno Guimaraes menjadi wira Newcastle United apabila menjaringkan gol cantik dan memenangi sepakan penalti sekali gus membantu pasukannya menewaskan Nottingham Forest 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, sebentar tadi.
Aksi di St James’ Park itu bermula hambar tanpa jaringan pada babak pertama, namun Guimaraes memecah kebuntuan pada minit ke-58 selepas menerima hantaran Dan Burn sebelum melepaskan rembatan lencong menewaskan penjaga gol lawan, Matz Sels.
Sels cemerlang menafikan beberapa percubaan Newcastle, tetapi terpaksa akur apabila Elliot Anderson menjatuhkan Guimaraes di dalam kotak penalti pada minit ke-82.
Nick Woltemade yang mengambil sepakan itu tenang menyempurnakan peluang untuk gol kedua tuan rumah.
Kemenangan itu mengangkat Newcastle ke tangga ke-11 liga dengan sembilan mata, manakala Forest bimbingan Ange Postecoglou terus dirundung tekanan selepas gagal menang dalam tujuh perlawanan berturut-turut semua kejohanan.
Mereka kini menghuni tangga ke-17 dengan lima mata, hanya satu mata di atas zon penyingkiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd