Newcastle terbang tinggi ke lapan terakhir

Newcastle terbang tinggi ke lapan terakhir


Newcastle United mara ke suku akhir Piala Liga selepas menundukkan Tottenham Hotspur 2-0 di St James’ Park. Foto Agensi

TANDUKAN Fabian Schar dan Nick Woltemade memastikan juara bertahan, Newcastle United mara ke suku akhir Piala Liga selepas menundukkan Tottenham Hotspur 2-0 di St James’ Park.

Spurs yang terkenal dengan kekuatan bola matinya musim ini, kali ini menjadi mangsa keampuhan udara pasukan tuan rumah yang melakukan beberapa pertukaran pemain dalam kesebelasan utama.

Gol pembukaan hadir pada minit ke-27 apabila Schar mudah menanduk masuk sepakan penjuru Sandro Tonali sambil melepasi kawalan Lucas Bergvall.

Pemain Tottenham dilihat membantah keputusan itu kepada pengadil Chris Kavanagh selepas Tonali mengambil sepakan ketika pertahanan Djed Spence baru sahaja bangun memasang semula butnya, namun jaringan tetap dikira sah.

Woltemade kemudian menggandakan kelebihan Newcastle menerusi tandukan kemas hasil hantaran silang Joe Willock menewaskan penjaga gol Antonin Kinsky yang gagal menyentuh bola.

Tottenham hampir merapatkan jurang tidak lama kemudian, tetapi percubaan leret Pape Sarr berjaya ditepis keluar Aaron Ramsdale.

Harvey Barnes turut hampir menambah jaringan buat Magpies apabila sepakan akrobatiknya sekadar menggegarkan palang gol, namun skuad bimbingan Eddie Howe itu kekal tenang menutup perlawanan untuk melangkah ke lapan terakhir buat musim keempat berturut-turut.

“Tiada keutamaan tertentu. Kami hanya mahu menang, dan menang secara konsisten, itulah perkara paling sihat buat pasukan.

“Perlawanan ini menjadi ujian sebenar selepas kami membuat banyak pertukaran. Saya mahu melihat sama ada mentaliti dan fokus pasukan akan berubah, dan yang paling menggembirakan saya, ia tidak berlaku,” ujar Howe selepas perlawanan.

 

 

INFO

Piala Liga

Suku Akhir

17 Disember

Manchester City lwn Brentford

Arsenal lwn Crystal Palace

Cardiff City lwn Chelsea

Newcastle United lwn Fulham

 

 

Ringkasan AI

  • Tandukan Fabian Schar dan Nick Woltemade memastikan juara bertahan, Newcastle United mara ke suku akhir Piala Liga selepas menundukkan Tottenham Hotspur 2-0
  • Gol pembukaan hadir pada minit ke-27 oleh Schar dari sepakan penjuru Sandro Tonali
  • Woltemade menggandakan kelebihan Newcastle menerusi tandukan dari hantaran silang Joe Willock
  • Pertahanan Spurs membantah gol pertama kerana sepakan diambil ketika pemainnya, Djed Spence, masih memasang semula butnya
  • Newcastle kekal tenang dan berhasil menutup perlawanan untuk melangkah ke suku akhir buat musim keempat berturut-turut



Source link

OR

Scroll to Top