Newcastle United meneruskan misi memburu slot ke Liga Juara-Juara musim hadapan apabila membelasah Crystal Palace 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium St James’ Park, pada Khamis.
Kemenangan bergaya itu menyaksikan skuad kendalian Eddie Howe melonjak ke tangga ketiga liga dengan 59 mata hasil 32 perlawanan, lima mata di hadapan Chelsea yang menghuni tangga keenam.
Tiga mata diraih The Magpies juga merupakan kemenangan keenam berturut-turut buat juara Piala Liga itu dalam semua kejohanan.
Dalam perlawanan itu, Jacob Murphy menyerlah dengan satu jaringan manakala jaringan lain disumbangkan Harvey Barnes, Fabian Schar dan Alexander Isak.
Crystal Palace pula mengalami malam yang suram apabila Marc Guehi tertampan masuk bola ke gawang sendiri, selain sepakan penalti Eberechi Eze gagal disempurnakan ketika kedudukan 0-1.
Newcastle turun tanpa kehadiran pengurus Howe di bangku simpanan kerana masih dalam proses pemulihan akibat pneumonia.
Namun, persembahan mantap yang dipamerkan skuad tuan rumah jelas menjadi tonik semangat buat pasukan.
“Kami telah berbincang mengenai keperluan untuk terus membina momentum daripada keputusan positif sebelum ini, dan hari ini adalah contoh terbaik.
“Murphy bermain dengan cemerlang. Dia seorang yang berperanan besar di bilik persalinan dan kini berada dalam prestasi terbaik.
“Kami memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugasan yang dihadapi dan mahu memastikan pengurus kami bangga dengan keputusan ini. Pasukan sangat terlatih dan tahu tanggungjawab masing-masing dalam setiap perlawanan,” kata Barnes.
OR