BINTANG bola sepak Brazil, Neymar, membalas ejekan penyokong Internacional Limeira dengan menjaringkan gol terus dari sepakan sudut atau Olimpico.
Peristiwa ini berlaku ketika Neymar membantu Santos meraih kemenangan 3-0 dalam Kejuaraan Paulista pada Ahad.
Neymar, 33 tahun, menjaringkan gol unik itu pada minit ke-27, melencongkan sepakan kaki kanannya yang kemudian mengenai tiang jauh sebelum menerjah gawang.
Selain itu, beliau turut menyumbang dua bantuan jaringan buat Tiquinho Soares yang menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama.
“Mereka mengejek saya dan saya berkata, sekarang giliran saya pula yang akan menjaringkan gol,” ujar Neymar.
Penyokong-penyokong tuan rumah juga mengusik Neymar pada minit kesembilan ketika pemain itu bersedia untuk mengambil sepakan sudut.
Pemain yang pernah beraksi untuk Barcelona dan Paris Saint-Germain itu membalasnya dengan memberi isyarat kepada mereka untuk menyanyi lebih kuat sebelum melakukan hantaran yang membolehkan Soares menjaringkan gol.
“Kegembiraan saya yang terbesar adalah bermain bola sepak,” tulis Neymar di media sosial.
Neymar, yang meninggalkan kelab Liga Pro Saudi, Al-Hilal, bulan lalu untuk kembali ke kelab zaman kanak-kanaknya, berkata minggu lalu bahawa Santos membantunya untuk menemui semula bola sepak, menemui semula kegembiraan.
Santos akan berhadapan Bragantino dalam suku akhir Kejuaraan Paulista pada hujung minggu depan.