Al-Ain, UAE: Neymar tampil kali pertama dalam tempoh setahun selepas masuk sebagai pemain gantian pada babak kedua ketika Al Hilal menentang Al Ain dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), awal pagi tadi.
Bintang Brazil itu yang berehat panjang akibat kecederaan ligamen lutut masuk menggantikan Nasser Al Dawsari pada minit ke-77 sejurus selepas Salem Al Dawsari meletakkan Al Hilal di depan dengan kedudukan 5-3.
Dia hampir mencipta impak segera apabila bertukar hantaran dengan Aleksandar Mitrovic sebelum melepaskan rembatan yang sedikit tersasar di sebelah kiri gawang lawan.
Keputusan berakhir dengan kemenangan Al Hilal 5-4 selepas Al Ain menjaringkan penalti pada lewat permainan.
Sejurus tiupan wisel terakhir, Neymar berkata: “Saya rasa bagus dan saya selalu mempunyai pasukan yang baik. Saya sangat gembira. Saya kembali! Saya kembali!
Bekas pemain Paris Saint-Germain itu mengalami kecederaan lutut ketika Brazil menentang Uruguay sejurus selepas berpindah ke Liga Pro Saudi. Dia menjalani pembedahan pada November lalu.
Neymar menyertai Al Hilal pada Ogos 2023 dari PSG dengan harga €90 juta (RM418 juta) tetapi hanya beraksi lima perlawanan sebelum ditimpa kecederaan.
Dia yang juga penjaring terbanyak Brazil sepanjang zaman terlepas Copa America 2024 yang dimenangi Argentina.
Neymar boleh beraksi di ACLE susulan ketiadaan had jumlah pemain asing di kejohanan itu tetapi hanya boleh didaftarkan pada Januari untuk aksi separuh kedua Liga Pro Saudi.
© New Straits Times Press (M) Bhd