NGO Malaysia pimpin usaha bantu krisis kemanusiaan Yaman

NGO Malaysia pimpin usaha bantu krisis kemanusiaan Yaman

NGO Malaysia pimpin usaha bantu krisis kemanusiaan Yaman


kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia terus meneguhkan reputasinya sebagai negara prihatin apabila menjadi tuan rumah Persidangan Kemanusiaan Partners for Yemen, membincangkan nasib jutaan rakyat Yaman yang terjejas akibat krisis kemanusiaan berlarutan sejak 2015.

Presiden Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR), Jismi Johari berkata, situasi kemanusiaan di Yaman kini berada pada tahap kritikal dan memberi kesan langsung kepada semua aspek kehidupan termasuk pendidikan, kesihatan dan ekonomi.

Katanya, situasi kemanusiaan yang parah di Yaman sudah diketahui umum, khususnya bagi mereka yang terbabit dalam kerja kemanusiaan di peringkat global dan serantau.

“Krisis ini memberi kesan negatif kepada semua aspek kehidupan, termasuk pendidikan, kesihatan dan ekonomi, ia turut menjejaskan kehidupan individu, kanak-kanak serta wanita.

“Maklum balas terhad daripada agensi kemanusiaan antarabangsa mendorong penganjuran persidangan ini bagi meningkatkan kesedaran, merangka strategi bersama dan mengumpul dana untuk projek pendidikan yang mampan kepada kanak-kanak di Yaman,” katanya yang ditemui di Persidangan Kemanusiaan Partners for Yemen di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, persidangan itu turut membincangkan cabaran sektor pendidikan seperti sekolah musnah akibat konflik, ekonomi yang runtuh hingga memaksa kanak-kanak bekerja pada usia muda, selain kekurangan kemudahan asas.

“Kami dan beberapa NGO tempatan lain akan mengutip dana bagi menyediakan akses pendidikan, termasuk kelas sementara, sekolah serta bantuan kemanusiaan seperti makanan dan tempat tinggal yang menjadi prasyarat kepada pendidikan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agong Development and Human Relief Society (INSAN) Dr Saleem Mogyalis berkata, sejak krisis bermula, lebih dua juta kanak-kanak di Yaman kehilangan peluang pendidikan.

“Malaysia bersama Indonesia dan beberapa negara lain tampil memberikan bantuan melalui pelbagai inisiatif.

“Matlamat utama persidangan ini termasuk melancarkan visi strategik nasional bersama untuk menyokong pendidikan di Yaman, mengumpulkan rakan antarabangsa dan penderma, serta membiayai projek pendidikan mendesak berdasarkan Pelan Tindak Balas Kemanusiaan Yaman,” katanya.

Beliau berkata, persidangan kali ini adalah penganjuran kedua selepas Turki tahun lalu, menandakan komitmen berterusan Malaysia dalam memperkukuh solidariti antarabangsa demi masa depan kanak-kanak Yaman.

Selain berkongsi isu semasa, persidangan itu juga merangka langkah segera seperti penyediaan kelas sementara di kem pelarian, pengumpulan dana untuk keperluan persekolahan dan kerjasama rentas negara bagi menyelaras bantuan.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi orang tengah dalam pelbagai konflik antarabangsa dan diyakini mampu memainkan peranan sama dalam usaha mencari keamanan di Yaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top