Kuala Lumpur: National Human Capital Conference & Exhibition (NHCCE) 2024 yang menjadi platform perbincangan penyelesaian isu berkaitan cabaran di tempat kerja, bakal diadakan pada 30 September ini.
Persidangan anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) akan berlangsung selama tiga hari sehingga 2 Oktober di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).
NHCCE 2024 yang sebelum inI dikenali sebagai Persidangan & Pameran HRDF, dijangka menarik perhatian lebih ramai perwakilan dari rantau Asia Tenggara susulan penganjuran persidangan itu tahun lalu yang berjaya menarik lebih 4,000 peserta dari dalam dan luar negara.
Kejayaan menghimpunkan pengamal bidang modal insan dan sumber manusia tempatan dan antarabangsa itu turut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai persidangan pembangunan modal insan terbesar di Malaysia.
Objektif utama NHCCE 2024 adalah untuk menangani wacana penting mengenai peranan Kecerdasan Buatan (AI) di tempat kerja dan kebaikannya untuk masa hadapan.
Persidangan itu akan melihat cara menangani cabaran dan memanfaatkan peluang daripada pertumbuhan AI untuk tenaga kerja dan bakat di rantau ini.
Melalui persidangan itu, perwakilan akan berkongsi amalan terbaik untuk kemahiran semula dan peningkatan kemahiran untuk terus mendahului revolusi AI merentas pelbagai sektor.
Persidangan itu sekali gus membantu memupuk kerjasama antarabangsa dalam membangunkan penyelesaian AI yang melengkapkan kekuatan manusia.
Selain itu, ia juga akan turut menyokong pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan dipacu AI yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan di seluruh rantau ini.
Perwakilan akan berkongsi amalan terbaik untuk kemahiran semula bagi mendahului revolusi AI Tema NHCCE 2024 adalah Menginsankan Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Tenaga Kerja Masa Depan.
Tema itu amat bertepatan dengan peningkatan AI merentasi skala global yang menghasilkan impak besar dalam memajukan pembangunan modal insan.
Malah, platform pembelajaran yang dikuasakan AI dan pembantu maya dapat membantu memudahkan pembangunan kemahiran dan pemerolehan pengetahuan untuk pekerja.
Ia sekali gus dapat membantu mereka menyesuaikan diri dengan keperluan pekerjaan yang berkembang dan kekal berdaya saing dalam pasaran kerja global.
Kehadiran AI di tempat kerja juga membawa perubahan yang signifikan dalam cara bekerja dan berinteraksi dengan teknologi.
Selain itu, ia juga kekal sebagai penggerak di sebalik perbincangan dan inisiatif berterusan yang membentuk masa depan kerja dan pembangunan bakat di seluruh dunia.
Berpandukan tema itu, NHCCE 2024 menyasarkan membincangkan berkenaan peranan AI di tempat kerja dan kebaikannya pada masa hadapan.
Manfaatkan pertumbuhan AI
Selain itu, persidangan itu juga akan membincangkan berkenaan cara menangani cabaran dan memanfaatkan peluang daripada pertumbuhan AI untuk tenaga kerja dan bakat di rantau ini.
NHCCE 2024 turut memperluaskan skopnya untuk merangkumi keseluruhan spektrum pembangunan modal insan dan perniagaan serta menetapkan peringkat untuk menentukan perbincangan seterusnya mengenai pembangunan modal insan.
Justeru itu, persidangan kali ini akan menyentuh empat perkara utama dalam memperkasa modal insan iaitu perniagaan dan ekonomi; teknologi; sumber manusia, tenaga kerja dan etika; serta kepimpinan dan budaya.
Oleh itu, bagi memastikan NHCCE 2024 mencapai objektif penganjurannya dan memberi impak, persidangan itu menampilkan lebih 30 tokoh terkemuka bidang modal insan, pengamal sumber manusia dan pakar dalam bidang masing-masing.
Antara yang akan hadir adalah wartawan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zeteo, Mehdi Hasan; jurulatih eksekutif terkenal dunia dan pengarang popular, John Mattone; Pengerusi ROI Institute, Inc, Dr Jack J Phillips, penceramah utama antarabangsa, Dr Justin Cohen dan Pakar Strategi Inovasi dan pengarang popular, Shawn Kanungo.
Selain persidangan, NHCCE 2024 juga akan menampilkan beberapa siri aktiviti menarik termasuk pameran terbesar di Malaysia tahun ini yang menghimpunkan lebih 300 pempamer terkemuka yang mempersembahkan trend terkini dalam model peningkatan kemahiran, teknologi baharu dan platform kesejahteraan yang akan menggalakkan pertumbuhan organisasi serta pembangunan individu.
Terdapat juga BizMatch iaitu ‘lounge’ pemadanan perniagaan di dewan pameran yang menawarkan latihan sesuai kepada organisasi dengan diskaun tertentu.
Sesi Ceramah Pembelajaran iaitu sesi perkongsian berkaitan (AI) yang disampaikan oleh pakar industri dan tokoh terkenal di negara antaranya Perunding Pemasaran B2B Pemasaran Digital, Bob Low; Ketua Saintis Synamatix Sdn Bhd mengenai Bioengineering, Dr Mohd Redza Abdul Rahman dan Pengarah Latihan dan Pendidikan Virtualtech Frontier, Johan Donough mengenai Technology.
Bagi memeriahkan lagi suasana, turut akan diadakan adalah sesi Giggle and Groove iaitu pengalaman permainan moden dalam persekitaran yang santai dan interaktif, menonjolkan pelbagai kepelbagaian budaya Malaysia kepada delegasi antarabangsa.
Selebriti yang akan bersama menghiburkan pelawat termasuk Lah Ahmad, Ally Iskandar, Raqeem Brian dan Zharif Zaki akan menghiburkan tetamu di kawasan pameran.
Terdapat juga ‘Booster Area’ bagi menghiburkan perwakilan dan pelawat melalui Permainan Keseronokan & Trivia menggunakan platform Kahootz yang memberi peluang untuk memenangi baucar yang menarik.
Aktiviti yang akan diadakan di kawasan itu termasuk Simulator Pertempuran Udara, Rollercoaster VR, Platform VR, Simulator Kereta Asas dan Set PlayStation.
Turut akan diadakan, MyFutureJob Career Fair dengan menampilkan hampir 50 majikan yang menawarkan peluang pekerjaan kepada pengunjung.
Pembelian pas masuk bagi NHCCE 2024 masih dibuka dan boleh juga mendaftar secara ‘walk-in’ pada 30 September ini.
Pembelian pas standard adalah RM3,200 manakala pas kumpulan dengan minimum lima peserta adalah RM2,900 setiap seorang.
Harga pas bagi penjawat awam adalah RM2,500, pas pelajar (RM700); pas antarabangsa standard (AS$1,200) dan pas antarabangsa kumpulan dengan minimum tiga peserta (AS$900).
Mereka yang berminat untuk menghadiri pameran boleh mendaftar di https://form.evenesis.com/NHCCE2024/visitor.
© New Straits Times Press (M) Bhd