Nidzam lega Negeri Sembilan raih satu mata

Nidzam lega Negeri Sembilan raih satu mata


Esso (tengah) bersaing dengan pemain Rodney dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

PENGENDALI Negeri Sembilan FC, Nidzam Jamil berpuas hati dengan semangat juang tinggi dipamerkan anak buahnya ketika bangkit mengikat Kuching City FC 2-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada Jumaat.

Nidzam mengakui perlawanan itu menuntut kerja keras dan kesungguhan penuh pemainnya selepas ketinggalan dua gol sebelum mencatat kebangkitan dramatik di penghujung perlawanan untuk meraih satu mata berharga.

“Kuching City antara pasukan kuat dalam liga. Bukan mudah berdepan penyerang lawan yang tinggi, laju dan berbahaya. Mereka juga ada personaliti pasukan yang bagus.

“Negeri Sembilan bangkit pada separuh masa kedua, itu membuatkan saya gembira. Kami juga bernasib baik memperoleh satu mata. Beginilah bola sepak. Kalau kita menentang pasukan kuat seperti JDT, Selangor, Kuching City atau Sabah, kesilapan kecil pasti dihukum.

“Ini cabaran untuk meningkatkan prestasi. Saya lega dengan sikap pemain yang pantas bertindak untuk memastikan kita tidak pulang tanpa sebarang mata,” katanya ketika sidang akhbar selepas perlawanan.

The Cats kendalian Aidil Sharin Sahak mendahului seawal minit keenam menerusi Ahmad Danial Ahmad Asri sebelum pemain import Wanja Ronald Ngah menambah jaringan pada minit ke-47.

Namun, Negeri Sembilan kemudian bangkit menerusi jaringan Joseph Esso pada minit ke-78 dan Nsue Etugu Luis Enrique pada masa kecederaan untuk memastikan kedudukan terikat 2-2.



Source link

OR

Scroll to Top