sukan@hmetro.com.my
Seremban: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Mohd Nidzam Jamil menyasarkan pencapaian lebih baik buat pasukan baharu yang dikendalikannya itu pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) bagi musim 2025/2026, yang dijadual membuka tirainya, 8 Ogos depan.
Pengendali kelahiran Kajang, Selangor itu menjelaskan bahawa misinya utama adalah untuk mendapatkan keputusan terbaik pada setiap perlawanan sama ada dalam Liga Super, Piala FA mahupun Piala Malaysia selain membantu kepada pembangunan bola sepak Negeri Sembilan.
“Sasaran utama adalah untuk mencapai kedudukan lebih baik daripada musim lalu. Saya tidak mahu sebut tangga ke berapa kerana pasukan ini juga ada ramai pemain muda termasuk dari skuad Piala Presiden yang diketengahkan.
“Walaupun ada penanda aras yang ditetapkan, namun perlu diberikan masa dan ruang untuk mencapai apa yang diinginkan kerana bola sepak bukan satu usaha yang singkat.
“Yang penting persembahan yang terbaik di padang dan memastikan keputusan memuaskan dapat dicapai dalam setiap perlawanan,” kata Nidzam ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Kad Keahlian ‘Hobin’ di sini, petang semalam.
Pelancaran disempurnakan Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.
Nidzam yang pernah memainkan peranan penting bersama Selangor FC musim lalu, selain rekod baik ketika mengemudi Felda United FC, AirAsia FC dan KL SPA FC, menegaskan kehadirannya bersama skuad Hobin Jang Hobin bukan sekadar menjayakan misi dalam Liga Super tetapi juga untuk skuad muda.
Beliau mahu usaha memacu kecemerlangan bola sepak di Negeri Sembilan ini merangkumi semua peringkat pasukan.
“Saya lihat apa dirancang NSFC dan barisan pemain di semua peringkat yang memiliki rekod serta personaliti yang baik mempunyai potensi dan meyakinkan.
“Yang penting, apa-apa yang mereka lakukan atau usahakan dalam latihan hari ini seharusnya akan ada persembahan yang baik untuk hari esok. Sifat seperti ini akan menjadikan pasukan lebih baik pada masa hadapan,” kata pengendali berpengalaman serta terkenal dengan pendekatan taktikal moden yang dibawanya.
Justeru, bekas pemain Harimau Malaya berusia 45 tahun itu berharap peminat dan penyokong Negeri Sembilan terus memberikan sokongan yang baik kepada pasukan kendaliannya itu sepanjang saingan Liga M musim 2025/2026.
© New Straits Times Press (M) Bhd