sukan@hmetro.com.my
Nilai: Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), Nidzam Jamil akui berpuas hati dengan aksi pramusim yang dilalui pasukan bimbingannya menjelang cabaran berhadapan Johor Darul Ta[zim (JDT) pada aksi pertama Liga Super musim 2025/2026, 12 Ogos nanti.
Pengendali berusia 45 tahun itu bagaimanapun berkata, keputusan dalam aksi pemanas badan berkenaan tidak boleh dijadikan ukuran ketika berhadapan dengan perlawanan sebenar nanti.
“Perlawanan pramusim secara langsung dapat membantu memantapkan pasukan selain memberi bayangan untuk memilih barisan pemain kesebelasan utama.
“Namun ia tidak boleh dijadikan ukuran apabila berhadapan dengan perlawanan sebenar nanti. Tapi ia sedikit sebanyak dapat memberikan gambaran apa yang akan berlaku sepanjang musim baharu ini nanti,” katanya ketika ditemui, di sini, petang semalam.
Sejak pembentukan pasukan baharu bermula Jun lalu, Negeri Sembilan FC sudah mengadakan tujuh perlawanan pramusim tanpa tewas dengan menghasilkan 15 gol dan hanya bolos tiga gol.
Sementara itu, Nidzam mahu pemain pasukan itu dapat membina mentaliti yang baik dan kekal positif sepanjang musim berikutan saingan Liga Malaysia (Liga M) 2025/2026 dijangka menjanjikan cabaran besar.
“Apabila kita sentiasa bersikap positif, pasti banyak perkara baik yang akan terjadi. Ini jelas apabila persiapan kita dalam membentuk pasukan berjalan lancar dan pemain memberikan komitmen tinggi dalam latihan serta aksi pramusim.
“Kita percaya sikap positif dan mentaliti baharu yang sedang dibina ini bakal memacu kejayaan Negeri Sembilan FC,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd