Pengacara popular, Fiza Sabjahan meluahkan rasa sebak selepas berpeluang melawat kilang roti terkenal baru-baru ini.
Kata Fiza, apa yang dilihat di sana bukan sekadar tentang operasi pengeluaran makanan, tetapi nilai kemanusiaan yang diterapkan dalam suasana kerja di kilang tersebut.
Menurut Fiza, kemudahan yang disediakan pihak syarikat itu menunjukkan keprihatinan terhadap kebajikan pekerja, khususnya bagi mereka yang mungkin berdepan kesempitan hidup.
“Semalam saya melawat kilang Gardenia. Bersih sangat dan tersusun. Tenang nampak suasana kerja di sana.
“Tapi yang paling buat hati tersentuh mereka masih ada kantin untuk pekerja. Tempat makan yang disediakan khas, supaya pekerja tak perlu beli atau bawa bekal dari rumah. Sebab terfikir, kalau ada antara mereka yang tak cukup duit nak makan di rumah sekurang-kurangnya di tempat kerja, mereka boleh isi perut.
“Tak ada siapa yang akan lapar haritu. Tak ada siapa akan tersisih,” katanya menerusi hantaran di Threads.
Berkongsi lanjut, pengacara Wanita Hari Ini menyifatkan, tindakan kecil yang ditunjukkan sering kali diabaikan oleh sesetengah pihak meskipun ia membawa maksud yang besar dalam kehidupan seseorang.
“Kadang nilai kemanusiaan bukan datang dari perkara besar semata atau kata-kata indah tapi dari perhatian dan keprihatinan kecil macam ni.
“Yang buat kita sedar, rezeki bukan sekadar apa yang kita dapat tapi apa yang kita kongsi,” katanya.

Menerusi ruangan balas, rata-ratanya memuji sikap prihatin yang ditunjukkan syarikat kilang roti tersebut bagi meringankan beban pekerjanya.









