Melbourne: Pemain veteran Jepun, Kei Nishikori, mempamerkan semangat juang luar biasa apabila menyelamatkan dua mata perlawanan untuk mencatat kemenangan dramatik dalam aksi lima set di Terbuka Australia hari ini, walaupun mengakui hampir berputus asa.
Pemain berusia 35 tahun itu, yang pernah mencapai kedudukan keempat dunia dan menjadi finalis Terbuka Amerika Syarikat (AS) sedekad lalu, hampir tewas di John Cain Arena kepada pemain Brazil, Thiago Monteiro.
Namun, Nishikori bangkit dengan kemenangan 4-6, 6-7 (4/7), 7-5, 6-2, 6-3 dalam pertarungan selama 4 jam 6 minit.
“Saya hampir menyerah kalah pada mata perlawanan,” kata Nishikori yang kini dalam fasa kebangkitan semula selepas beberapa tahun bergelut dengan kecederaan serius pada pinggul dan buku lali.
“Dia bermain sangat baik dan menguasai permainan. Tetapi entah bagaimana, saya teruskan perjuangan,” tambahnya.
“Ini adalah perlawanan yang sangat sukar. Saya cuba kekal tenang walaupun hampir tersingkir. Saya cuba bertahan sehingga ke penghujung.”
Nishikori, yang mencipta sejarah sebagai finalis perseorangan lelaki Grand Slam pertama dari Asia di Terbuka AS 2014, sudah bermain lapan perlawanan lima set sebelum ini di Melbourne Park dan hanya tewas sekali – kepada Roger Federer pada tahun 2017.
Kemenangan ini membuktikan semangat juangnya yang luar biasa dan memberi harapan besar kepada peminat Jepun untuk menyaksikan kebangkitan semula bintang veteran ini di kejohanan Grand Slam.
© New Straits Times Press (M) Bhd