Nor Farah intai slot ke Sukan Komanwel 2026

Nor Farah intai slot ke Sukan Komanwel 2026


Anugerah Atlet Terbaik SAM 2024 melonjak semangat Nor Farah untuk terus memacu nama negara di pentas antarabangsa. FOTO – SINAR HARIAN / ROSLI TALIB.

ATLET boling padang negara, Nor Farah Ain Abdullah kembali menjalani latihan selepas dua bulan berehat akibat kecederaan bahu dengan menyasarkan untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel Glasgow 2026.

Malah bagi memastikan impian tersebut mampu direalisasikan beliau mahu fokus untuk meningkatkan tahap kecergasan dan kembali kepada prestasi terbaiknya sebelum ini.

“Selepas ini akan fokus kepada latihan sebab sudah dua bulan saya menjalani proses pemulihan susulan kecederaan bahu kanan.

“Sasaran saya adalah untuk melayakkan diri ke Sukan Komanwel pada tahun depan. Sebenarnya banyak lagi yang nak capai, tetapi saya cuba sasarkan satu demi satu terlebih dahulu,” katanya.

Atlet berusia 25 tahun itu pada Isnin dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terbaik pada majlis Anugerah Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) 2024.

Selain pentas Komanwel, Nor Farah turut mengintai peluang untuk beraksi dalam saingan kejohanan Piala Dunia Boling Padang di laman sendiri November depan.

Mengulas lanjut mengenai kecederaan bahu beliau memberitahu bahawa sudah mula menjalani latihan ringan.

“Cuma, doktor menasihatkan saya untuk berhenti jika terasa sakit. Jadi, mungkin saya perlu melakukan lebih banyak latihan kekuatan (strength) untuk bahu saya,” ujar Nor Farah.

Sebagai rekod, Nor Farah pada Mei lalu menerima pengiktirafan selaku Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2024.

Ia adalah hasil kejayaan cemerlangnya menyumbang pingat emas di Kejohanan Boling Padang Dunia di Gold Coast, Australia tahun lalu.



Source link

OR

Scroll to Top