BAGAI sirih pulang ke gagang, bekas pemain hoki negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin kembali membimbing skuad remaja lelaki negara untuk tempoh tiga tahun.
Jurulatih berusia 59 tahun itu bukan nama asing apabila pernah melatih skuad Young Tigers selama empat tahun bermula 2016 hingga 2020.
Bekas pengendali pasukan hoki Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu diberi tanggungjawab untuk mempersiapkan pasukan bagi mengharungi Piala Dunia Remaja 2025 di India akhir tahun ini.
Nor Saiful mengambil alih tugas daripada I Vikneswaran yang juga Presiden Persatuan Hoki Kuala Lumpur kerana mahu memberi fokus kepada program pembangunan sukan itu di ibu kota.
Perkembangan tersebut dikongsi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal dalam sidang media khas di Bukit Jalil pada Selasa.
Beliau menyerahkan kepada Nor Saiful untuk membentuk pasukan yang mantap, bukan sahaja untuk membawa cabaran negara pada kejohanan kali ini, tetapi juga untuk Piala Dunia akan datang iaitu pada 2027.
Tambahnya, KHM akan memberi sokongan penuh kepada jurulatih baharu itu bagi meneruskan usaha yang dilakukan oleh Vikneswaran yang berjaya membawa Young Tigers beraksi di Piala Dunia.
“Nor Saiful merupakan bekas pemain kebangsaan serta pernah membimbing skuad hoki remaja dan dia tahu asam garam sukan ini.
“Kita juga beri mandat kepada Nor Saiful untuk memilih penolong jurulatih dan barisan kejurulatihan lain,” katanya.
Piala Dunia tersebut dijadualkan berlangsung di Chennai bermula 29 November hingga 10 Disember depan.
Dalam pada itu, Nor Saiful memberi bayangan untuk memanggil antara 30 hingga 33 pemain bagi menjalani sesi latihan dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan pertama, fokus yang akan diberikan ialah untuk memperkasakan tahap kecergasan, fizikal dan mental pemain.
“Skuad juga akan didedahkan dengan lebih banyak pertandingan bagi memberi peluang kepada mereka untuk membiasakan diri dengan suasana kejohanan,” katanya.