KUALA LUMPUR : Keperibadian dan imej wanita muslimah berjiwa lembut yang dimiliki oleh tiga selebriti terkemuka tanah air iaitu Amyra Rosli, Amira Othman dan Nora Danish menjadi faktor utama pemilihan mereka sebagai duta koleksi Amber Oasis Abaya.
Menurut pengasas Amber yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Hasan, ciri-ciri yang dimiliki oleh tiga figura tersebut menjadikan mereka layak untuk mengangkat martabat wanita muslimah menerusi gaya koleksi terbaharu mereka.
“Koleksi kali ini Amber ingin ekspreskan kelembutan jiwa dan ciri-ciri itu ada pada Amyra Rosli, Amira Othman dan Nora Danish. Mereka juga seperti lambang wanita hebat tetapi tetap penuh lemah lembut.
“Ketiga-tiga figura ini bukan sahaja dikenali dengan kejelitaan dan pengaruh mereka, tetapi juga gaya hidup Muslimah moden yang menjadi aspirasi ramai wanita hari ini.
“Pemilihan mereka adalah berdasarkan personaliti mereka yang mencerminkan nilai-nilai jenama Amber iaitu elegan, yakin, dan menghormati gaya hidup Muslimah moden,”katanya.
Selain itu, katanya, kerjasama bersama tiga selebriti ini bukan sekadar kempen pemasaran, tetapi adalah usaha strategik untuk mendekatkan jenama dengan pengguna yang mengidolakan mereka sebagai wanita hebat yang tetap menjaga prinsip dan imej walau dalam dunia serba moden.
Tambah Adzliana, koleksi eksklusif yang dikeluarkan bersempena Hari Raya Aidiladha itu akan menonjolkan kejelitaan si pemakai.
“Amber bukan sekadar jenama, Amber adalah lambang kepada keyakinan dan keanggunan wanita Muslimah moden.
“Kami percaya bahawa setiap wanita berhak untuk bergaya dengan penuh keyakinan tanpa mengetepikan nilai dan keselesaan,”katanya.
Pelancaran Koleksi Amber Oasis Abaya ini merupakan manifestasi komitmen kami dalam menyediakan fesyen berkualiti tinggi dengan sentuhan eksklusif tempatan.
Koleksi Amber Oasis Abaya menampilkan empat rekaan iaitu Madeena, Arora, Jumaira, dan Sahara yang masing-masing direka dengan teliti untuk memenuhi cita rasa berbeza wanita moden dan hanya 500 unit setiap rekaan disediakan.
Selain itu, bagi pakej eksklusif, setiap pembelian termasuk kotak hadiah berlapik sutera, sijil keaslian bernombor, dan e-pass jemputan majlis preview eksklusif di Kuala Lumpur Fashion Week, September 2025.