najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Apabila suami ingin kembali rujuk, saya terima kerana Allah.”
Demikian kata penyanyi Datuk Nora Ariffin yang mengesahkan sudah rujuk semula dengan bekas suami, Dr Rushdi Ramli selepas sebulan mengumumkan perceraian menerusi video dalam Instagram.
Nora ketika dihubungi Harian Metro berkata, dia dan Dr Rushdi tidak pernah bermusuh sejak insiden itu berlaku.
“Kami tak pernah bermusuh. Moga jodoh kami berpanjangan,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya bagaimana proses rujuk itu berlangsung, Nora berkata, suaminya datang berjumpa dan menyatakan hasrat itu.
Bagaimanapun Nora enggan memberitahu butiran lanjut mengenai tarikh rujuk.
“Bertemu depan mata dengan aman damai kerana perceraian (yang berlaku) itu bukan kehendak kami.
“Ia tidak lama selepas peristiwa berlaku. Saya beritahu bagi mengelakkan fitnah berhubung soal tempoh edah
“Semoga perkara yang sama tidak berulang,” katanya.
Terdahulu Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin menyerahkan kepada takdir mengenai kemungkinan rujuk semula dengan bekas suami.
Pada 12 Ogos lalu, Nora memuat naik video bekas suaminya menceraikannya dengan talak satu dalam video berdurasi 52 saat dalam IG.
Bagaimanapun, Nora berkata, perceraian berlaku sebelum tarikh video itu dimuat naik.
Selepas video tular, Nora menerima kecaman ramai dan mempertahankan bekas suami serta memaklumkan perkara itu bukanlah atas kehendaknya.
Pasangan itu bergelar suami isteri pada 2021, malah Rushdi adalah sahabat baik Allahyarham Johan.
Johan yang juga komposer tersohor meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung pada usia 52 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd