PETALING JAYA: Cuba akhiri kemelut, suami kepada penyanyi, Datuk Nora Ariffin, Rushdi Ramli tampil dengan sebuah kenyataan bagi membela nasib isterinya yang kerap menerima hentaman ramai sejak kebelakangan ini.
Menerusi sebuah hantaran di Facebook, Rushdi menjelaskan niatnya memperisterikan Nora adalah untuk membimbing dan mendidik penyanyi itu selepas kehilangan suami yang juga merupakan kawan karibnya, Allahyarham Johan Nawawi.
“Nora adalah isteri kepada kawan karib saya, Allahyarham Johan. Tidak pernah terlintas langsung dalam fikiran saya untuk mendekati beliau kerana kerjaya kami yang jauh berbeza. Namun, segalanya berubah selepas pemergian arwah Johan.
“Didorong oleh niat murni untuk menjaga, membimbing, mengajar ilmu dan menjaga anak-anak arwah yang masih di awal usia, disinilah timbulnya keinginan untuk meminang. Hanya Allah yang tahu niat saya dan semuanya adalah dengan kehendakNya jua,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Rushdi turut mengakui dirinya tidak pernah terlintas mahu berpoligami kerana cakna dengan impaknya namun tetap akur dan yakin dengan aturan Sang Pencipta.
Malah, suami kepada penyanyi lagu Hanya Satu tersebut turut menganggap gelaran penyondol yang dilemparkan terhadap isterinya itu adalah perkara yang menyedihkan dan wajar dihentikan.
“Di dalam poligami, gelaran seperti penyondol dan sundal sering dikaitkan dengan isteri-isteri sama ada kedua, ketiga dan seterusnya. Ini adalah sesuatu yang amat menyedihkan dan wajar dihentikan (wajib) dan bertentangan dengan ajaran Islam yang Maha Suci.
“Yang amat menyedihkan ini juga berlaku terhadap isteri saya. Nora bukan wanita yang suka mendampingi lelaki yang bukan suaminya. Sepanjang perkahwinannya dengan arwah dan juga saya, dia tidak pernah curang atau nusyuz.
“Sepanjang melayari bahtera perkahwinan selama beberapa tahun, rumah tangga kami aman dan bahagia,” jelasnya.
Sementara itu, Rushdi juga sempat memuji peribadi penyanyi tersebut malah mengakui Nora merupakan seorang isteri yang baik selain pandai menjaga cara pemakaiannya.
“Nora insan yang suka belajar dan mencari ilmu. Sya akui bahawa dari sudut perwatakan dan perangai, Nora tidak keterlaluan dalam segala hal terutamanya ketika di khalayak ramai.
“Dia menjaga tatasusila, sopan santun, dan sesuai dengan kedudukannya sebagai isteri seorang ustaz serta selebriti bergelar Datuk. Beliau seorang yang mudah mesra dan tidak sombong.
“Saya dapati beliau adalah isteri yang baik, dan saya bersyukur atas takdir yang telah ditentukan oleh Allah,” ujarnya.
Terdahulu, Nora Ariffin tampil memohon maaf secara terbuka kepada isteri pertama Rushdi, Puan Rose dan anak tirinya, Alia Rushdi bagi meleraikan menghentikan ketegangan yang berlaku sebelum ini.