Norakma dilantik sebagai Delegasi Teknikal di ACT

Norakma dilantik sebagai Delegasi Teknikal di ACT


TIDAK ramai dalam kalangan wanita di negara ini yang memilih karier sebagai kakitangan teknikal dalam sukan hoki di pentas antarabangsa terutamanya yang mendapat pengiktirafan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).

Setakat ini, Malaysia hanya mempunyai dua wakil iaitu Norakma Hashim dan Ernawati Mahmud yang merupakan bekas pemain hoki wanita dalam dewan kebangsaan, tetapi, di peringkat Asia bilangannya lebih ramai.

Baru-baru ini, Mingguan Malaysia berkesempatan menemu bual Norakma yang terbang ke Bihar, India pada 9 November lalu selepas diberi tanggungjawab oleh Persekutuan Hoki Asia menggalas tugas selaku Delegasi Teknikal (sebelum ini dikenali Pengarah Pertandingan) untuk Kejohanan Hoki Wanita Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 pada 11-20 November.

“Saya gembira diberi kesempatan menggalas tugas ini di ACT, sepanjang di India nanti saya bertanggungjawab untuk memastikan kejohanan itu berjalan lancar dan semua pihak terlibat mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” katanya.

Pemenang pingat emas Piala Asia Kejohanan Hoki Dalam Dewan itu berkata, peranan yang diberi selaku Delegasi Teknikal merupakan kali pertama digalasnya sejak berjinak-jinak dengan tugas di balik tabir itu pada 2015.

NORAKMA bertugas sebagai Pegawai Teknikal bagi Kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Oman, Januari lalu.

Menurutnya, semasa di peringkat awal dulu, dia bertugas sebagai hakim (judge) perlawanan pada Piala Remaja Asia 2015 di Changzhou, China dan pernah menggalas peranan sama pada aksi Kelayakan Sukan Olimpik Hoki Lelaki 2024 di Muscat, Oman, Januari lalu.

Anak jati Perak berusia 39 tahun itu juga pernah bertugas semasa Sukan Asia di Hangzhou, China pada tahun lepas.

“Saya amat berharap selepas ini akan ada lebih ramai khususnya dalam kalangan wanita yang melibatkan diri dalam cabang karier ini, walaupun ia bukan secara tetap, tetapi ia satu pengalaman amat berharga untuk wanita Malaysia di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai syarat-syarat yang perlu dipenuhinya bagi menggalas tanggungjawab tersebut, Norakma memberitahu, bagi sesiapa yang berminat perlu mengikuti kursus teknikal terlebih dahulu, selain mempunyai pengetahuan yang baik dalam sukan hoki.

“Seperti saya kelebihan mungkin berpihak kepada saya sebagai bekas pemain dan pengetahuan itu banyak membantu saya sebenarnya,” tambah bekas penuntut Sekolah Sukan Bukit Jalil itu.

Memiliki Ijazah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Pembangunan Sumber Manusia itu, Norakma tidak setakat mempunyai ‘lesen’ berkhidmat pada kejohanan di pentas Asia, malah, mampu merentas benua itu.

Pengiktirafan yang diterima daripada FIH, membolehkan Norakma mengorak langkahnya lebih jauh dan disebabkan ‘lesen’ yang dimilikinya itu, dia memasang impian untuk bertugas di pentas Sukan Olimpik satu hari nanti.

“Saya memang menyimpan impian untuk bertugas di Sukan Olimpik, tetapi, saya tidak meletakkan sebarang sasaran tertentu untuk ke sana, jika diberi ruang dan peluang saya mahu menerima cabaran itu.

“Lagi jauh perjalanan saya, lagi luas pengalaman saya nanti, sokongan yang diberi majikan iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah memudahkan perjalanan karier secara separuh masa ini berjalan,” katanya.

Menjawab pertanyaan sama ada karier sebagai staf teknikal bersama badan induk hoki Asia dan dunia itu mampu dilaksanakan secara sepenuh masa, Norakma menjelaskan, buat masa ini, ia tidak begitu sesuai kerana kejohanan yang diadakan memiliki jarak kelompongan masa.

“Kalau kejohanan diadakan secara konsisten pada tiap-tiap bulan lainlah, lagipun saya bertugas apabila khidmat saya diperlukan dan bukan semua kejohanan saya pergi.

“Sebab itu, ia lebih sesuai dibuat secara separuh masa dan saya sendiri mempunyai kerja tetap di UPSI sebagai Pegawai Sukan di sana,” ujarnya.

Kali pertama berkunjung ke India, Norakma ke sana tidak bersendirian kerana dia akan turut diiringi Annie Thomas (pengurus pengadil), Noorrafeah Daud (pegawai teknikal) dan Inspektor Norasyikin Md Shariudin (pengadil) yang turut bertugas di ACT.

Bercerita sedikit latar belakang Norakma sebagai pemain kebangsaan, dia memulakan kariernya sebagai pemain hoki padang dan sempat mewakili Malaysia pada Piala Remaja Asia 2000 di Kuala Lumpur.

Kecederaan anterior cruciate ligamen (ACL) yang dialami telah merencat kariernya dan mengambil keputusan meninggalkan seketika sukan hoki, sebelum kembali mewakili negara, tetapi, sebagai pemain hoki dalam dewan pada 2009-2012.- UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top