Babak penuh emosi dalam drama popular Takdir Cinta Terlarang mencetuskan sensasi di media sosial apabila pelakon berkaliber, Norish Karman, menampilkan lakonan luar biasa sebagai Hatiqah seorang isteri yang akhirnya ‘meletup’ selepas lama memendam derita.
Adegan konfrontasi antara Hatiqah dan Sarah, watak lakonan Shaza Bae, mencuri perhatian ramai apabila pertengkaran antara madu itu berakhir dengan aksi tarik rambut dan tolak ke dalam kolam simbolik kepada letusan maruah seorang wanita yang dikhianati.
Detik dramatik itu kini tular di TikTok dengan ramai penonton mengakui puas menonton babak tersebut, selain memuji keberanian Norish menghidupkan emosi watak dengan penuh realistik dan berjiwa.
“Melalui watak Hatiqah, saya nak tunjuk perempuan bukan sekadar pelengkap cerita atau watak yang tunduk bila diuji. Kita boleh penyabar, tapi sabar pun ada batasnya.
“Bila maruah dipijak, kadang-kadang diam bukan lagi pilihan,” kata Norish yang mengakui babak berkenaan antara paling mencabar namun sarat makna buatnya sebagai pelakon.
Shaza Bae pula turut dipuji apabila berjaya membawa watak Sarah dengan begitu meyakinkan hingga membuatkan ramai penonton ‘geram’ dengan karakternya tanda lakonannya benar-benar menjadi.
@azrihj.seman episode 18 ptg ni guys .. takdircintaterlarang. #akasiatv3 @juita.viden
Aksi pertembungan dua wanita itu bukan sekadar babak dramatik semata-mata, tetapi turut menggambarkan kekuatan dalaman seorang isteri yang akhirnya memilih untuk bangkit mempertahankan harga diri selepas dikhianati.
Takdir Cinta Terlarang boleh ditonton setiap Isnin hingga Jumaat, jam 7 malam di slot Akasia TV3, atau distrim percuma di aplikasi iQIYI pada jam 8 malam.