Anak bongsu kepada pasangan pelakon terkenal, Norman Hakim dan Abby Abadi, Maria Danisha Hakim, 18, mencatatkan keputusan memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan baru-baru ini.
Lebih membanggakan, Danisha berjaya memperoleh gred A bagi tiga subjek utama iaitu Matematik, Sains dan Sejarah hasil bimbingan platform pendidikan PTTI.
Pencapaian itu sekali gus menunjukkan keberkesanan pembelajaran digital dalam membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik.
Menurut Norman, kejayaan yang diraih anaknya bukan sekadar keputusan di atas kertas, sebaliknya hasil usaha berterusan dan ketabahan sepanjang tempoh pembelajaran.
“Saya nak ucap tahniah atas keputusan SPM yang sangat membanggakan ini. Semua usaha, termasuk pengorbanan yang orang mungkin tak nampak, akhirnya membuahkan hasil.
“Saya sendiri menyaksikan bagaimana Danisha berusaha dan kuat sepanjang perjalanan ini,” katanya.
Norman turut mengimbau detik penuh debaran ketika menemani anaknya menanti keputusan diumumkan.
“Saat duduk bersama depan skrin tunggu keputusan keluar memang sangat mendebarkan. Semua perasaan, doa dan usaha seakan berkumpul dalam satu masa,” katanya.
Dalam pada itu, Norman turut menghargai peranan institusi pendidikan yang membantu perkembangan akademik Danisha termasuk Abedeen Academy.
Tidak ketinggalan, dia merakamkan penghargaan kepada PTTI Group serta tenaga pengajarnya yang banyak membantu Danisha memperbaiki kelemahan dalam subjek tertentu sehingga berjaya mencapai keputusan cemerlang.
“Terima kasih kepada semua tenaga pengajar yang bantu Danisha ubah subjek yang dulu lemah jadi kekuatan sampai dapat A. Itu bukan perkara mudah dan saya sangat bangga,” katanya.
Norman juga menegaskan sokongan penuhnya terhadap anaknya dalam apa jua keadaan.
“Danisha tak perlu hadap semua ini seorang diri. Apa yang dia rasa dan usahakan sangat bermakna buat saya. Saya akan sentiasa ada untuk melihat, menyokong dan percaya pada dia,” katanya.






