Norway dakwa FIFA jejas integriti bola sepak isu Balogun

Norway dakwa FIFA jejas integriti bola sepak isu Balogun

Norway dakwa FIFA jejas integriti bola sepak isu Balogun


London: Persekutuan Bola Sepak Norway (NFF) akan mengemukakan aduan rasmi kepada FIFA susulan keputusan menggantung hukuman penggantungan penyerang Amerika Syarikat, Folarin Balogun, yang didakwa menjejaskan integriti bola sepak.

Presiden NFF, Lise Klaveness, berkata beliau akan mendapatkan sokongan lembaga pengarah untuk mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Etika FIFA berhubung insiden yang disifatkannya sebagai sesuatu yang “tidak sepatutnya berlaku.”

NFF sebelum ini sudah mengemukakan aduan rasmi terhadap Presiden FIFA, Gianni Infantino, selepas beliau menyampaikan Anugerah Keamanan sulung badan induk bola sepak dunia itu kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang mengundang kecaman meluas.

“Saya akan membawa perkara ini ke mesyuarat lembaga pengarah dan membincangkannya bersama mereka sebelum mengemukakan aduan.

“Bagi saya, isu ini berada dalam ruang lingkup aduan etika yang sama,” katanya kepada The Times.

Kontroversi tercetus selepas Trump didakwa campur tangan dalam kes Balogun.

Balogun menerima kad merah ketika kemenangan Amerika Syarikat ke atas Bosnia dan Herzegovina pada pusingan 32 terakhir yang menyebabkan dia digantung secara automatik bagi aksi menentang Belgium.

Namun, FIFA kemudian menggantung hukuman itu, sekali gus membolehkan Balogun beraksi selepas muncul laporan Trump menghubungi Infantino berhubung perkara berkenaan.

Keputusan itu mengundang kecaman pelbagai pihak, namun Belgium tetap membelasah tuan rumah bersama itu 4-1.

“Apabila anda melonggarkan peraturan seperti ini, ia membuka jalan yang boleh meletakkan keseluruhan sukan ini dalam risiko.

“Peraturan asas permainan tidak sepatutnya dikompromi. Kami semua tahu keputusan itu dipengaruhi pihak luar dan tidak melalui proses yang sewajarnya.

“Kami memerlukan pemimpin FIFA mengakui keputusan itu adalah satu kesilapan,” katanya.

Klaveness yang mengetuai NFF sejak 2022 turut menyifatkan campur tangan seorang ketua negara dalam urusan bola sepak sebagai duluan berbahaya.

“Jika organisasi mula mengubah keputusan kerana tekanan pemimpin negara atau politik, ia akan mengubah cara badan itu berfungsi dan mengaburkan sempadan campur tangan kerajaan dalam bola sepak,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top