Norza dijangka kekal pimpin MOM

Norza dijangka kekal pimpin MOM


FIGURA sukan tanah air, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dijangka terus memimpin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi penggal 2025-2029 pada pemilihan badan itu minggu depan.

Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) bagi Zon Asia Tenggara itu difahamkan menjadi calon tunggal bagi jawatan presiden, sekali gus meneruskan kepimpinannya untuk penggal ketiga berturut-turut.

Sebagai rekod, Mohamad Norza mula menerajui MOM sejak 2018 selepas mengambil alih tampuk kepimpinan daripada Tunku Imran Tuanku Ja’afar tujuh tahun lalu.

Pemilihan badan induk sukan negara itu dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 April ini.

Bagi jawatan nombor dua pula, Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) merangkap Naib Presiden MOM, Datuk Nur Azmi Ahmad, bakal dicabar Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz.

Jawatan yang turut menjadi perhatian ialah Setiausaha Agung susulan penyandangnya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib memaklumkan tidak akan mempertahankan kedudukan berkenaan.

“Setelah dua penggal, sudah tiba masa saya memberi laluan kepada muka baharu memegang jawatan ini. Kita beri peluang kepada mereka untuk ke depan membantu sukan negara,” ujar Nazifuddin.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon pilihan bagi menggantikan Nazifuddin ialah Timbalan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Mohd Nasir Ali yang juga merupakan Penolong Bendahari MOM.

Dalam pada itu, senarai penuh calon yang bakal bertanding bagi pemilihan penggal baharu tersebut akan diumumkan secara rasmi pada Jumaat.

Setakat ini, sebanyak 34 ahli gabungan mengemukakan borang pencalonan kepada Panel Bebas Pemilihan yang dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pemilihan bagi penggal baharu ini melibatkan 12 jawatan iaitu presiden, timbalan presiden dan lima naib presiden.

Turut dipertandingkan ialah jawatan setiausaha agung dua penolong setiausaha agung (satu lelaki dan satu wanita), bendahari serta penolong bendahari.



Source link

OR

Scroll to Top