NOTTINGHAM Forest mengesahkan kehadiran pemain tengah Brazil, Douglas Luiz dari Juventus menerusi pinjaman semusim dengan kewajipan bersyarat untuk menjadikan perpindahan itu kekal pada musim panas depan.
Pemain berusia 27 tahun itu, yang membantu Brazil meraih pingat emas Olimpik di Tokyo, hanya sempat beraksi dalam 27 perlawanan bersama kelab gergasi Itali tersebut selepas berhijrah dari Aston Villa musim lalu dengan yuran perpindahan sekitar €50 juta (RM246 juta).
“Saya sangat gembira berada di sini. Ini sebuah kelab besar dan saya memilih untuk datang kerana melihat kepada cita-cita yang dimiliki pasukan ini,” kata Luiz dalam kenyataan pada Khamis.
Luiz memulakan karier profesionalnya bersama Vasco da Gama di Brazil sebelum berpindah ke Manchester City pada 2017.
Bagaimanapun, beliau tidak pernah diturunkan dalam aksi rasmi dan dipinjamkan ke kelab Sepanyol, Girona, selama dua musim sebelum menyertai Aston Villa pada 2019.
Forest, yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu di tangga ketujuh, dijadual berkunjung ke gelanggang Crystal Palace pada Ahad ini.