Hudson-Odoi penjaring gol kemenangan Forest di City Ground.
JARINGAN bekas pemain lincah Chelsea, Callum Hudson-Odoi memastikan Nottingham Forest meraih kemenangan 1-0 ke atas Manchester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium City Ground pada Sabtu.
Kemenangan ke-15 selepas mengharungi 28 perlawanan mengukuhkan kedudukan Forest bimbingan Nuno Espírito Santo dalam perebutan empat teratas dan slot Liga Juara-Juara musim depan.
Pemain sayap itu menyambut hantaran lintang jauh cantik daripada Morgan Gibbs-White sebelum melakukan larian ke dalam kotak penalti menewaskan penjaga gol City, Ederson, dengan rembatan dari sudut sempit pada minit ke-83.
Dalam perlawanan yang menyaksikan kurangnya peluang berbahaya, pasukan City kendalian Pep Guardiola hampir memecah kebuntuan menerusi percubaan jarak jauh Nico Gonzalez yang sedikit tersasar.
Sementara itu, percubaan Hudson-Odoi selepas itu juga berjaya ditepis Ederson sebelum diselamatkan tiang.
Tiga mata mengekalkan Forest, pasukan penuh kejutan musim ini, di tangga ketiga dengan 51 mata, manakala City berada di tangga keempat dengan 47 mata.