NEGERI Sembilan FC (NSFC) mempunyai peluang cerah untuk meraih kemenangan beraksi di laman sendiri menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC dalam saingan Piala Malaysia Ahad ini, kata Naib Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Mustapha Nagoor.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan negeri berkata, ini berikutan pelbagai rombakan yang dilakukan terhadap skuad itu, termasuk kemasukan pemain baharu selepas beberapa episod kekalahan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebelum ini.
“Setelah kita buat perubahan tempoh hari, buat rombakan, masukkan pemain baharu, kita nampak permainan ditonjolkan sudah berubah, lebih stabil dan saya yakin kita akan peroleh kemenangan Ahad ini. Pemain harus berusaha sepenuhnya.
“Semasa latihan, jurulatih akan memberikan strategi untuk menang, tetapi apabila tiba di dalam permainan, kadang-kadang mereka tidak dapat mengikuti perancangan. Inilah masalahnya. Jadi, saya harap mereka akan mengikut apa yang telah dirancang dan bangkit dalam perlawanan itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Skuad kendalian K Nanthakumar itu akan menerima kunjungan PDRM FC bagi perlawanan pusingan pertama dalam saingan 16 pasukan Piala Malaysia, Ahad ini di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini. – Bernama