sukan@hmetro.com.my
Seremban: Negeri Sembilan FC (NSFC) akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) bagi menambahbaik kemudahan di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi, untuk keselesaan penonton setiap kali berlangsungnya saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/2026.
Menteri Besar merangkap Pengerusi NSFC, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan pihaknya akur dengan pelbagai aduan diterima daripada penyokong bola sepak terutama ketika perlawanan menentang Selangor FC (SFC), Ahad lalu.
“Kita akur dengan beberapa aduan yang diterima berkaitan kemudahan atau keperluan yang perlu ditambah baik di Stadium Tuanku Abdul Rahman.
“Pada peringkat awal (sebelum Liga M musim ini bermula), memang kita telah pastikan kemudahan seperti tempat solat, tandas dan sebagainya, mencukupi, namun kita tidak menyangka puluhan ribu orang hadir.
“Sememangnya perkara yang dibangkitkan itu menjadi perhatian kita dan akan cuba diatasi. Saya telah minta pihak MBS memastikan beberapa kemudahan dalam keadaan baik dan dapat digunakan. Nak macam lima bintang memang belum lagi,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan EXCO di Wisma Negeri, hari ini.
Aminuddin berkata, ini adalah kali pertama dalam tempoh tujuh tahun STAR dibanjiri penyokong bola sepak sehingga mencecah 25,550.
© New Straits Times Press (M) Bhd