sukan@hmetro.com.my
Seremban: Selepas memulakan cabaran Liga Super dengan persembahan yang memberangsangkan, pemain Negeri Sembilan FC (NSFC) mahu meneruskan komitmen tinggi itu dalam pertembungan dengan PDRM FC pada saingan 16 pasukan Piala FA, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.
Beraksi pertama kali di laman sendiri musim ini, pemain skuad Hobin Jang Hobin mahu menggunakan peluang terbaik berkenaan untuk mendapatkan kelebihan sebelum membuat perhitungan terakhir pada aksi timbal balik.
Kapten pasukan, Ahmad Khuzaimi Piee menegaskan bahawa setiap pemain pasukan itu perlu bersedia memberikan persembahan terbaik supaya kelebihan yang ada untuk mendapatkan keputusan positif tidak menjadi sia-sia.
“Berdepan pasukan PDRM FC yang berpengalaman dan menunjukkan persembahan yang baik dalam dua aksi Liga Super tanpa tewas, ternyata bukan suatu tugas yang mudah walaupun beraksi di laman sendiri.
“Namun, peluang yang dimiliki itu tidak harus dipersia-siakan oleh setiap pemain untuk mencipta kemenangan pertama buat pasukan musim ini.
“Justeru itu, masing-masing perlu ambil tanggungjawab sepenuhnya dengan memberikan fokus terhadap perlawanan ini dan memastikan keputusan memihak kepada pasukan,” kata Ahmad Khuzaimi hari ini.
Tonggak pertahanan berpengalaman yang mesra dipanggil Jimmy itu berkata, dia dan rakan-rakannya perlu menterjemahkan dengan baik segala ilmu dan latihan yang telah dilalui sepanjang persiapan menghadapi musim ini.
Kata bekas pemain Harimau Malaya berusia 31 tahun itu yang tidak beraksi ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selasa lalu, pasukannya perlu mencatat kemenangan ke atas PDRM bagi melonjakkan keyakinan dan semangat dalam meneruskan cabaran serta momentum baik dalam liga.
“Pertembungan dengan PDRM ini penting untuk kita mencipta kemenangan kerana ia akan memberi impak positif dan keyakinan yang baik kepada pasukan dalam meneruskan cabaran sama ada dalam Liga Super mahupun Piala FA musim ini.
“Saya percaya rakan-rakan akan mengambil tanggungjawab yang serius terhadap perlawanan ini dengan memastikan setiap perancangan yang ditentukan ketua jurulatih (Nidzam Jamil) dapat diterjemahkan sepenuhnya di padang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






