NSFC tampil garang, belasah Sabah FC 3-0 di Paroi

NSFC tampil garang, belasah Sabah FC 3-0 di Paroi


Pemain Negeri Sembilan FC Ameyaw Alexander Agyakwa (kanan) dan Takumi Sasuki (kiri) bersaing bagi mendapatkan bola dari pemain Sabah FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi. Foto Bernama

NEGERI Sembilan FC (NSFC) tampil garang di laman sendiri apabila menundukkan Sabah FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

Pasukan tuan rumah membuka tirai jaringan pada minit ke-26 menerusi penyerang import, Jovan Motika, yang melakukan larian mengelirukan dua pertahanan pelawat sebelum melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Skuad bimbingan Mohd Nidzam Jamil terus mengukuhkan kedudukan pada minit ke-40 menerusi Ameyaw Alexander Agyakwa yang menjaringkan gol kedua hasil penyudah berkualiti, sekali gus meletakkan tuan rumah selesa mendahului 2-0 bagi separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan Sabah cuba bangkit dengan beberapa percubaan berbahaya, namun kekuatan benteng pertahanan NSFC dapat mengekang asakan termasuk beberapa cubaan menarik daripada Adjin Mujagic dan Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

NSFC mendapat peluang terbaik menambah jaringan pada minit ke-64 menerusi gerakan solo Motika yang mengatasi dua pemain lawan namun rembatannya tersasar ke luar garisan.

Skuad tuan rumah mengesahkan kemenangan menerusi gol ketiga pada minit ke-79 menerusi Joseph Esso, yang menyempurnakan hantaran kemas Mio Tsuneyasu sekali gus menggegarkan stadium yang dibanjiri lebih 20,000 penyokong.

Turut mencuri tumpuan, penampilan sulung pemain muda Luqman Hakim Shamsudin yang mempamerkan aksi bertenaga dengan larian pantas serta hantaran kemas sekali gus memperkukuh jentera serangan NSFC.

Tiga mata penuh itu melonjakkan NSFC ke tangga keempat liga dengan kutipan lapan mata, sementara Sabah terus bergelut di kedudukan ke-10 dengan hanya tiga mata. – Bernama

Ringkasan AI

  • NEGERI Sembilan FC menang 3-0 ke atas Sabah FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi
  • Jovan Motika membuka skor untuk NSFC pada minit ke-26
  • Ameyaw Alexander Agyakwa menjaringkan gol kedua pada minit ke-40
  • Joseph Esso mengukuhkan kemenangan dengan gol ketiga pada minit ke-79
  • Kemenangan ini melonjakkan NSFC ke tangga keempat liga, Sabah di kedudukan ke-10



Source link

OR

Scroll to Top