asmaini@mediaprima.com.my
Seri Kembangan: NSK Grocer (KL) Sdn Bhd (NSK Grocer) membuka cawangan kelapannya di pusat beli-belah The Amerin Mall, di sini, hari ini.
Pengarah Eksekutif NSK Grocer, Loh Teck Wah berkata, rangkaian yang terkenal dengan menawarkan produk berkualiti premium pada harga berpatutan itu memilih Seri Kembangan kerana terletak di kawasan yang matang dan padat penduduk.
Selain itu, ia turut berhampiran dengan pusat perniagaan dan perusahaan komersial, sesuai dengan perniagaan kami.
“Cawangan baharu ini akan memberi kemudahan kepada penduduk sekitar untuk mendapatkan pelbagai barangan runcit, produk isi rumah, daging, produk ayam serta hasil segar seperti sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga berpatutan.
“Orang ramai boleh menjadikan tempat ini destinasi sehenti bagi memenuhi keperluan harian mereka,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan NSK, Lim Chou Bu dan Pengarah Kumpulan NSK, Lim Ah Chuan.
Bersempena pembukaannya juga, NSK Grocer di The Amerin Mall menawarkan promosi istimewa iaitu seekor ayam serendah RM1 terhad kepada 300 keluarga pertama.
Turut ditawarkan adalah pembelian beras lima kilogram (kg) pada harga RM1 dengan menjadi ahli bermula hari ini hingga 17 Jun ini.
Menurut Loh lagi, sehingga hari ini, lebih 50,000 sudah mendaftar sebagai ahli NSK Grocer dan dijangka akan terus meningkat.
Beliau berkata, pihaknya juga merancang untuk membuka sekurang-kurangnya sebuah lagi cawangan NSK Grocer menjelang akhir tahun ini.
“Mengenai pemilihan lokasi, ia masih di kawasan Lembah Klang dan akan diumumkan apabila tiba masanya.
“Setakat ini, kami menumpukan pasaran di Lembah Klang dahulu sementara menunggu peluang meluaskan cawangan ke negeri lain,” katanya.
Cawangan NSK Grocer di The Amerin Mall dibuka setiap hari bermula 10 pagi hingga 10 malam.
Selain The Amerin Mall, tujuh cawangan lain NSK Grocer terletak di Quill City Mall, Paragon Point, 3 Damansara, Berjaya Times Square, The Summit USJ Shopping Mall, Amcorp Mall dan The Rivercity.
© New Straits Times Press (M) Bhd