NSTP Light Sensory Room dapat sambutan menggalakkan di KJH Pulau Pinang

NSTP Light Sensory Room dapat sambutan menggalakkan di KJH Pulau Pinang


am@hmetro.com.my

Batu Kawan: Tarikan Light Sensory Room: Family Fiesta of Lights di reruai The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Karnival Jom Heboh (KJH) Pulau Pinang di sini, terus mendapat sambutan yang menggalakkan.

Teknologi berasaskan cahaya dan deria yang dipancarkan menerusi projektor itu adalah tarikan pertama kali diperkenalkan di reruai itu dalam jelajah KJH.

Ketua Pegawai Operasi NSTP Luqman Adrine Ja’afar berkata, tarikan itu memberi pendedahan dan mendekatkan orang ramai dengan teknologi baharu.

“Keseluruhannya, kita berpuas hati dengan sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai tambahan pula ia baharu sahaja diperkenalkan dalam jelajah KJH.

“Berikutan sambutannya, kita merancang mahu membawa teknologi ini ke jelajah KJH seterusnya nanti,” katanya di sini, hari ini.

Light Sensory Room dengan kerjasama Blackbody Emission Creative Technology itu membolehkan pengunjung merasai pengalaman multi-sensori yang unik, peluang menari bersama pancaran cahaya interaktif sambil menikmati visual lembut seperti dunia fantasi diselangi oleh bunyi, aroma dan cahaya berirama.

Terdahulu, Luqman ditemui ketika melawat reruai NSTP bersama Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Datuk Mohd Efendi Omar dan Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST) yang juga Timbalan Pengarang Urusan Kumpulan (DGME) Media Prima Farrah Naz Abd Karim.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan dan Projek Khas NSTP Tengku Kaifimirza Tuan Cherit@Tengku Hamzah berkata, pertandingan gambar kreatif dan dapat banyak tanda suka masih berlangsung dan dijangka berakhir pada jam 2 petang esok, manakala pemenang hadiah misteri akan diumum pada jam 5 petang.

“Tiket ditawarkan pada harga RM20 bagi seisi keluarga dan pengunjung perlu ambil gambar atau video kreatif serta terbaik.

“Mereka kemudian perlu muat naik di media sosial Facebook, Instagram atau TikTok dengan tag @NST_ONLINE, @BERITAHARIAN dan @HARIANMETRO diikuti tanda pagar #NSTPFIESTAOFLIGHTS,” katanya hari ini.

Menurut Tengku Kaifimirza, orang ramai yang menyertai Jom Heboh Fun Run sempena ulang tahun KJH ke-22 pada jam 6.30 pagi esok diingatkan supaya datang awal ke lokasi awal bagi mengelak kesesakan atau perubahan aliran trafik.

Sementara itu, peserta Jom Heboh Fun Run boleh mendapat secawan teh tajaan Syarikat Alzara Foods Sdn Bhd secara percuma, esok.

Pengarahnya, Mohd Yazid Manap berkata, sebanyak 500 cawan teh akan disedia di lokasi bermula jam 8 pagi.

Selain itu, pihaknya turut memberi secawan teh secara percuma kepada pengunjung yang datang ke reruai Alzara di KJH Pulau Pinang.

“Selain jualan teh Hi-Top, kita turut menjual produk minyak sapi keluaran Alzara dengan potongan harga sehingga peratus.

“Kita juga beri tips kepada pelanggan berkenaan bancuhan teh, yang mana ia akan lebih sedap dan mengeluarkan aroma jika direbus terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui.

Alzara Foods Sdn Bhd yang bertapak di Rawang, Selangor itu turut mempunyai cawangannya di Bukit Mertajam, di sini.

KJH kali ini menawarkan pelbagai aktiviti menarik, persembahan hebat dan kejutan istimewa bagi pengunjung seisi keluarga.

Antaranya ialah Street Soccer 3 on 3, Pertandingan Karaoke Drama Sangat, permainan Soopa Doopa, pemeriksaan kesihatan dan gigi percuma, aktiviti memanah, Zumba Challenge, Pound Fitness Challenge serta Jom Lokal Jam.

Turut disediakan, pertandingan tarian tradisional Drama Sangat Terbuka, Buletin Challenge, sesi Meet and Greet bersama barisan pelakon drama TV3 dan personaliti TV9, Kids Colouring Contest dan Tonton Thrill Rumah Hantu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top