Darwin Nunez dilaporkan sedang mencari jalan keluar dari Arab Saudi hanya beberapa bulan selepas menyertai kelab gergasi, Al-Hilal.
BEKAS penyerang Liverpool, Darwin Nunez dilaporkan sedang mencari jalan keluar dari Arab Saudi hanya beberapa bulan selepas menyertai kelab gergasi, Al-Hilal.
Bintang kelahiran Uruguay itu berhijrah pada musim panas lalu dengan yuran perpindahan sekitar £66 juta (RM360 juta) sejurus selepas membantu Liverpool menjulang trofi Liga Perdana Inggeris.
Bagaimanapun, menurut beberapa laporan antarabangsa, pemain berusia 26 tahun itu dikatakan tidak gembira di kelab itu walaupun telah meledak empat gol dalam enam penampilan setakat ini.
Ketika ini, Al-Hilal sedang ketinggalan empat mata di belakang pasukan yang diketuai Cristiano Ronaldo, Al-Nassr.
Akhbar Argentina, Ole mendedahkan bahawa kelab gergasi Amerika Selatan, River Plate kini sedang memantau situasi tersebut dan telah memperuntukkan dana khusus dalam struktur gaji mereka untuk membawa masuk Nunez menjelang kempen 2026.
Pengendali River Plate, Marcelo Gallardo yang sedang merangka rombakan besar-besaran skuadnya dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat bekas bintang Liverpool itu.
Laporan itu mendakwa pihak kelab telah pun menghubungi Nunez yang dikatakan nekad untuk meninggalkan Al-Hilal.
Biarpun permulaan kariernya di Arab Saudi kelihatan positif dengan turut menyumbang dua bantuan gol, Nunez dipercayai sedang mempertimbangkan langkah seterusnya.
Situasi ini agak mengejutkan memandangkan hanya beberapa minggu lalu, Nunez dilihat gembira dengan kehidupan baharunya menerusi beberapa hantaran di media sosial.
Enam minggu lalu, dia memuat naik koleksi gambar aksi meraikan gol dengan kapsyen ‘kembali beraksi’ disusuli dengan hantaran ‘ini baru permulaan’ seminggu sebelumnya.
Terdahulu, karier Nunez di Liverpool sering mengundang pelbagai reaksi susulan perpindahan mahalnya dari Benfica.
Walaupun menjadi watak penting ketika skuad kendalian Arne Slot memenangi kejuaraan liga, namun prestasinya sering turun naik.
Malah, Nunez menamatkan musim terakhirnya dengan rekod yang kurang memberangsangkan, apabila sekadar menjaringkan tujuh gol daripada 47 perlawanan dalam semua pertandingan.
Prestasi itu mendorong Liverpool menjualnya walaupun kelab gergasi Inggeris itu pernah mengeluarkan belanja besar untuk mendapatkan khidmatnya hanya beberapa tahun lalu.
Ringkasan AI
- Darwin Nunez dilaporkan sedang mencari jalan keluar dari Al-Hilal beberapa bulan setelah menyertai dengan yuran sekitar RM360 juta
- Walaupun telah menjaringkan empat gol dalam enam penampilan, Nunez dikatakan tidak gembira di kelab itu
- River Plate memperuntukkan dana dalam struktur gaji untuk membawa masuk Nunez menjelang kempen 2026
- Prestasi awal Nunez di Arab Saudi positif dengan empat gol dan dua bantuan namun dia dipercayai sedang mempertimbangkan masa depannya
- Sebelum perpindahan ke Al-Hilal, Nunez mendapat reaksi bercampur semasa bermain untuk Liverpool, menjaringkan tujuh gol dari 47 perlawanan






