London: Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo berkata hubungannya dengan pemilik kelab yang lantang bersuara, Evangelos Marinakis semakin merosot di tengah-tengah spekulasi bahawa jurulatih dari Portugal itu mungkin akan dipecat tidak lama lagi.
Nuno yang diberikan kontrak baharu pada Jun lalu selepas membawa Forest ke pentas Eropah buat kali pertama dalam 30 tahun dengan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketujuh musim lalu, menyuarakan rasa tidak puas hati dengan urusan perpindahan pemain kelab itu menjelang musim baharu.
Sejak itu, Forest sudah berbelanja lebih £100 juta (RM571.8 juta) untuk mendapatkan James McAtee, Omari Hutchinson, Arnaud Kalimuendo dan Douglas Luiz.
Namun, Nuno secara mengejut mendedahkan hubungannya dengan hartawan perkapalan Greece itu tidak baik ketika ini.
“Saya sentiasa mempunyai hubungan yang sangat baik dengan pemilik, musim lalu kami sangat, sangat, sangat rapat. Musim ini tidak begitu baik. Tidak, ia tidak (baik),” kata Nuno.
“Saya tidak tahu sebenarnya, tetapi saya bercakap jujur dengan anda. Saya tidak boleh katakan ia sama, kerana memang tidak sama. Puncanya, saya tidak tahu.
“Hakikatnya ialah ia tidak seperti dahulu. Dahulu hubungan kami baik, saling menghormati, lebih kepada berasaskan kepercayaan dan berkongsi pandangan, tetapi kini tidak begitu baik,” katanya lagi.
Kedua-duanya pernah terbabit dalam pertengkaran di atas padang pada penghujung musim lalu selepas penyerang Forest, Taiwo Awoniyi terus bermain dalam perlawanan menentang Leicester walaupun mengalami kecederaan abdomen yang kemudian memerlukan pembedahan segera.
Nuno turut mengakui bimbang kedudukannya sebagai pengurus kini dalam bahaya.
“Kalau ada asap, maknanya ada api, jadi saya tahu bagaimana perkara ini berfungsi, tetapi saya di sini untuk melakukan kerja saya,” tambah bekas pengurus Tottenham dan Wolves itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






