Nuno dipecat, Postecoglou jadi taruhan baharu Forest

Nuno dipecat, Postecoglou jadi taruhan baharu Forest


London: Nottingham Forest melantik Ange Postecoglou sebagai pengurus bagi menggantikan Nuno Espirito Santo yang dipecat selepas berlaku pertikaian dengan pemilik kelab, Evangelos Marinakis.

Nuno membawa Forest layak ke pentas Eropah buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun musim lalu selepas menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tangga ketujuh.

Namun, dia menjadi pengurus pertama EPL yang kehilangan pekerjaan musim ini selepas secara terbuka mendedahkan hubungannya dengan bilionair Greece, Marinakis semakin merosot.

Postecoglou sendiri dipecat oleh Tottenham pada Jun lalu, hanya beberapa hari selepas memenangi Liga Europa.

Meskipun menamatkan penantian 17 tahun Spurs untuk menjulang trofi, jurulatih kelahiran Australia itu tetap disingkirkan berikutan musim liga terburuk Tottenham sejak 1976/77 apabila mereka menamatkan saingan di tangga ke-17.

Bagaimanapun, Marinakis memberi kepercayaan kepada pengendali berusia 60 tahun itu untuk meneruskan rekod kejayaannya merangkul trofi bersama Tottenham, Celtic, Yokohama Marinos dan ketika membimbing skuad kebangsaan Australia.

“Kami membawa seorang jurulatih yang mempunyai rekod terbukti dan konsisten dalam memenangi trofi.

“Pengalamannya melatih pasukan di peringkat tertinggi, selain keinginannya untuk membina sesuatu yang istimewa bersama kami di Forest, menjadikan beliau individu terbaik untuk membantu kami dalam perjalanan ini serta mencapai semua matlamat kami secara konsisten,” kata Marinakis.

Postecoglou yang dilahirkan di Greece akan memimpin Forest, yang kini berada di tangga ke-10 Liga Perdana dengan empat mata selepas tiga perlawanan, buat kali pertama dalam perlawanan getir menentang Arsenal pada Sabtu ini.

Marinakis berharap dia dapat mengulangi kejayaan menjuarai Liga Europa, dengan Forest turut dilabel antara pilihan untuk merangkul gelaran itu.

Namun, gaya permainan menyerang Postecoglou sangat berbeza dengan pendekatan berhati-hati yang membawa kejayaan kepada Nuno di City Ground.

“Selepas berjaya layak ke Liga Perdana, kemudian membina prestasi secara konsisten musim demi musim hingga melakar kelayakan ke pentas Eropah, kini kami perlu mengambil langkah tepat untuk bersaing dengan pasukan terbaik dan memburu trofi.

“Ange mempunyai kredibiliti dan rekod untuk melakukannya, dan kami teruja dengan kehadirannya menyertai perjalanan penuh cita-cita kami,” tambah Marinakis.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top