PENGENDALI Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo menepis spekulasi bakal meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris itu apabila menyifatkan khabar angin berkenaan sebagai tidak masuk akal selepas seri 1-1 menentang Crystal Palace pada Ahad.
Desas-desus mengenai masa depannya bertiup kencang sejak Jumaat lalu apabila Nuno mendedahkan hubungannya dengan pemilik Forest, Evangelos Marinakis semakin retak dan tidak lagi berlandaskan kepercayaan.
Musim lalu, Forest pernah menafikan khabar angin mengenai perbualan panas antara Marinakis dan pengendali dari Portugal itu selepas pemilik berkenaan turun ke padang untuk berbincang dengannya sejurus tamat perlawanan.
“Semua itu karut. Tidak masuk akal. Naratif ini, ia benar-benar mengarut,” tegas Nuno ketika ditanya sama ada beliau mahu meninggalkan pasukan.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau yakin masih kekal bersama Forest selepas jendela perpindahan ditutup, Nuno lebih berhati-hati dalam jawapannya.
“Saya tidak boleh menjawab soalan itu, tetapi apa yang saya tahu, saya sedang bekerja keras dan cuba melakukan tugas saya sebaik mungkin.
“Sudah tentu, keadaan ini perlu diselesaikan kerana kami orang yang bertanggungjawab. Kami boleh duduk berbincang untuk mencari penyelesaian terbaik demi perkara paling penting iaitu pasukan.
“Kami akan lakukannya. Kami mesti lakukannya. Perbualan itu perlu berlaku, dan saya percaya ia akan berlaku tidak lama lagi,” katanya.
Forest kini menghuni tangga keempat liga selepas mengutip empat mata daripada dua aksi pembukaan musim ini.