Nur Azmi mahu angkat martabat sukan negara

Nur Azmi mahu angkat martabat sukan negara


PRESIDEN Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahmad bertekad untuk melonjakkan sukan negara ke pentas tertinggi apabila mengesahkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan badan induk itu minggu depan.

Beliau berkata, penyertaannya bukan sekadar untuk mengisi kekosongan yang bakal ditinggalkan Tan Sri Hamidin Mohd Amin, namun melahirkan komitmen terhadap pembangunan sukan berprestasi tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya bersedia menggalas tanggungjawab itu sekiranya diberikan kepercayaan. Saya berpegang pada prinsip untuk berkhidmat demi pembangunan sukan negara.

“Jika diberi peluang, saya akan teruskan usaha memartabatkan sukan Malaysia ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Kontinjen (CDM) negara ke Sukan SEA 2021 di Vietnam memaklumkan bahawa telah mendapatkan restu daripada Hamidin yang menyokong pencalonannya untuk jawatan nombor dua tertinggi dalam MOM itu.

“Saya sudah berhubung dengan Hamidin untuk mendapatkan restu. Beliau menyokong hasrat saya untuk bertanding jawatan itu,” katanya.

Pemilihan jawatankuasa baharu MOM dijangka berlangsung di Wisma MOM, Kuala Lumpur pada 19 April ini.

Jawatan nombor dua MOM itu penting sebagai penyambung tugas presiden yang memainkan peranan strategik membuat perancangan jangka panjang termasuk melibatkan temasya utama seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan SEA.

Sebagai rekod, Nur Azmi memainkan peranan penting ketika mengetuai kontinjen negara di Sukan SEA 2021 di Vietnam yang menyaksikan Malaysia meraih 39 pingat emas, 45 perak dan 89 gangsa — pencapaian yang meletakkan negara di kedudukan keenam keseluruhan.

Selain aktif dalam sukan karate, beliau turut memiliki pengalaman luas dalam pelbagai disiplin sukan termasuk pernah memegang jawatan dalam Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan kini mengetuai kelab bola sepak Melaka FC.



Source link

OR

Scroll to Top